PUTRAJAYA 14 Mac – Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan lima syor dalam laporan kumpulan kerja berhubung isu-isu maritim meliputi had bertindih Pelabuhan Johor Bahru dan Pelabuhan Singapura.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan bersama di sini menyatakan, pelaksanaan syor-syor itu akan berkuat kuasa bermula hari ini.
Syor pertama, jelas kenyataan itu, adalah bagi kedua-dua negara untuk secara bersama menggantung pelaksanaan had pelabuhan bertindih mereka yang masing-masing berkuatkuasa sebelum 25 Oktober 2018 dan 6 Disember 2018.
‘‘Malaysia dan Singapura bersetuju untuk tidak membenarkan dan menggantung semua aktiviti komersial di kawasan terlibat. Kedua-dua negara juga bersetuju untuk tidak melabuhkan kapal kerajaan di kawasan itu.
‘‘Kapal-kapal Malaysia dan Singapura beroperasi di kawasan itu berlandaskan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS). Agensi-agensi relevan kedua-dua pihak akan melaksanakan amalan praktikal untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini di kawasan tersebut,’’ kata kenyataan itu.
Tambah mereka, kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong.
Jawatankuasa tersebut adalah untuk tujuan persempadanan yang akan memastikan pelaksanaan empat syor yang dipersetujui berkenaan dalam tempoh sebulan.
‘‘Perundingan untuk penentuan sempadan maritim di kawasan tersebut akan dimulakan dalam masa satu bulan selepas pelaksanaan tersebut,’’ katanya.
Sementara itu, kenyataan itu menegaskan, langkah-langkah berkenaan yang diambil oleh kedua-dua negara tidak akan menjejaskan tuntutan sempadan maritim Malaysia dan Singapura di kawasan tersebut.
Sekiranya jawatankuasa itu tidak dapat mencapai penyelesaian yang baik dalam persempadanan, jelas kenyataan itu, Malaysia dan Singapura boleh saling bersetuju untuk menggunakan prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa yang sesuai.
Kedua-dua menteri luar turut bersetuju bahawa langkah-langkah berkenaan penting dalam meredakan keadaan dan membuka jalan kepada persempadanan maritim di kawasan tersebut.
‘‘Kedua-dua menteri berharap dapat mencapai kejayaan pelaksanaan cadangan kumpulan kerja,’’ katanya.











