LONDON 9 Mac- Willian menegaskan setiap perlawanan ibarat ‘final’ buat Chelsea yang bertekad menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mara ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Pemain sayap Brazil itu, mengakui Chelsea tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan ketika melayan kunjungan Wolves di Stamford Bridge.
“Inilah detiknya di mana kami perlu menang semua perlawanan. Setiap perlawanan adalah final bagi kami sekarang dan kami perlu cemerlang dalam setiap perlawanan.
“Kami sedar sasaran kami, kami tahu apa yang kami mahukan. Kami mahu berada dalam kelompok empat teratas, kekal di sana dan beraksi di Liga Juara-Juara musim depan,” katanya.
Skuad Maurizio Sarri kini mempunyai baki 10 perlawanan untuk memintas Manchester United, yang berkelebihan dua mata mengatasi The Blues di tangga keenam.
Chelsea yang berkelebihan satu perlawanan ke atas United dan Arsenal di tangga kelima, mungkin layak ke Liga Juara-Juara andai menjuarai Liga Europa.
Mereka kini sudah selangkah ke suku akhir Liga Europa selepas sepakan percuma menarik daripada Willian membantu kemenangan 3-0 dalam aksi pertama 16 pasukan terakhir ke atas Dynamo Kiev awal pagi, semalam.
Biarpun ujian lebih getir menanti di Eropah, saingan merebut empat tangga teratas begitu sengit hinggakan kesilapan kecil mampu membawa padah.
Chelsea gagal layak ke Liga Juara-Juara musim lalu di bawah kendalian Antonio Conte selepas sekadar menduduki tempat kelima yang menyebabkan pemecatan pengurus dari Itali itu. – AFP











