Serangan Christchurch: Lega dengar suara, lihat Mohd. Nazril - Isteri - Utusan Malaysia

Serangan Christchurch: Lega dengar suara, lihat Mohd. Nazril – Isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang isteri sebak dan bersyukur apabila dapat mendengar  suara dan melihat suaminya semula selepas menjadi mangsa serangan berdarah di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, semalam. 

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Prof. Madya Dr. Zurinawati Mohyi berkata, kesempatan itu diperoleh menerusi panggilan telefon dan video call dilakukannya bermula pukul 6.15 pagi tadi.

Katanya, menerusi panggilan telefon didapati suaminya, Mohd. Nazril Hisham Omar,46, dalam keadaan lemah mungkin disebabkan kesan pembedahan dan ubatan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sempat berbual dengannya kira-kira seminit menerusi telefon hospital tempat Mohd. Nazril dirawat termasuk bertanya keadaannya. 

“Namun, kebanyakan soalan itu hanya dijawab Ya yang berkemungkinan dia masih lagi lemah,” katanya ketika ditemui kediamannya di Seksyen 8, di sini hari ini.

Menurut Zurinawati, beliau kemudiannya membuat panggilan video kepada nombor telefon bimbit milik anak keduanya, Muhammad Haqiem Daniel, 18, yang ketika ini menemani suaminya itu.

Ujarnya, hasil panggilan video kira-kira dua minit itu beliau dapat melihat kedua-dua belah kaki dan belakang badan Mohd. Nazril berbalut mungkin kesan tembakan semalam.

“Mohd. Nazril akan menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) sebelum menjalani pembedahan kali kedua.

“Walaupun saya hanya dapat dengar dan lihat keadaan suami sekejap sahaja, namun bersyukur dia selamat dan stabil,” jelasnya. 

Zurinawati menambah, beliau turut dimaklumkan oleh Muhammad Haqiem bahawa dua lagi beradiknya Muhammad Hazieq Daniel, 14, dan Muhammad Hazriq Daniel, 10, juga selamat dan berada di rumah kawan mereka di sana. 

“Saya dan anak sulungnya Muhammad Haiqal Daniel, 20, akan bertolak ke New Zealand pada hari ini.

“Kami akan menaiki kapal terbang ke Singapura pukul 1 petang ini sebelum ke New Zealand dan dijangka tiba di sana kira-kira pukul 11 pagi esok,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini