REMBAU – Seorang lelaki berusia 38 tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 224.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Pedas-Linggi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Lim Chun Kiat yang beralamat di Taman Rasah Jaya, Seremban maut di lokasi kejadian selepas kereta dipandunya terbabas dan dirempuh sebuah kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, semasa kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios berseorangan dipercayai dari Ayer Keroh, Melaka menuju ke Senawang.
“Kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan apabila tiba di lokasi kejadian. Kemudian sebuah kereta jenis BMW yang sedang bergerak di laluan sama merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Anuar Bakri berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikerahkan memberi bantuan.
Menurut beliau, operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dijalankan sejurus pegawai dan anggota bomba terbabit tiba di lokasi kejadian bersama beberapa buah jentera kira-kira pukul 5.40 pagi. – K! ONLINE











