KUALA LUMPUR 15 Mac – Penularan kes denggi di Selangor terus berada di tahap membimbangkan apabila negeri tersebut masih merekodkan jumlah kes tertinggi di negara ini sepanjang tempoh hujung Disember tahun lalu sehingga awal bulan ini.
Berdasarkan statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan Kementerian Kesihatan, sebanyak 18,205 kes direkodkan dalam tempoh 30 Disember 2018 sehingga hari ini.
Lebih mengejutkan, bilangan kes denggi terkumpul negeri berkenaan dianggarkan tujuh kali ganda tinggi berbanding negeri Johor iaitu kedua tertinggi dengan mencatatkan 2,569 kes dalam tempoh sama.
“Selain itu, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur berada di tangga ketiga dengan merekodkan 2,487 kes, manakala Pulau Pinang (1,906 kes) pada tangga keempat diikuti Sabah (1,418 kes) dan negeri-negeri lain yang semuanya tidak melebihi 1,000 kes.
“Secara purata, untuk hari ini sahaja, sebanyak 231 kes baru dicatatkan di Selangor manakala 27 kes di Kuala Lumpur dan 25 kes di Johor,” katanya.
Lebih membimbangkan, daripada 194 kawasan `panas’ penularan virus berkenaan seluruh negara dalam tempoh 10 minggu tahun ini, sebanyak 88.7 peratus merupakan kawasan sekitar Selangor.
“Kawasan `hot spot’ ini merupakan kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi wabak berpanjangan melebihi 30 hari. Daripada 194 kawasan tersebut, sebanyak 172 lokasi berada di sekitar Selangor,” ujarnya.
Dalam tempoh 1 Januari hingga Sabtu lalu, sebanyak 50 kematian telah direkodkan di seluruh negara akibat virus berkenaan.- UTUSAN ONLINE











