Sedia terima kritikan - Utusan Malaysia

Sedia terima kritikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Mac – Semangat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara ini akan terus diperkukuhkan biarpun berdepan kritikan dan tohmahan pelbagai pihak.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, ini kerana, setiap kritikan diterima akan dijadikan panduan untuk penambahbaikkan dalam memberikan perkhid­matan terbaik mereka.

MOHD. KHALIL KADER MOHD.
MOHD. KHALIL KADER MOHD.

“Siapa pun boleh cakap apa mereka suka, mereka boleh kata polis tak betul ke apa atau polis main wayang ke, itu semua tidak akan lemahkan semangat kita dan kita akan tetap terus menjalankan tanggungjawab yang diberi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Netizen suruh kita kerja ikut rule of law tetapi pada masa sama mereka memberikan komen tidak menepati konsep tersebut, namun polis sudah cukup matang untuk memahami semua perkara itu.

“Dan yang penting, biar hasil kerja kita membuktikan segalanya,” katanya selepas menyempurnakan majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-212 peringkat Kontinjen Johor di Dataran Kawad Ibu pejabat polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Kamarudin Md. Din dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad.

Dalam majlis sambutan itu, se­ramai 131 pegawai dan anggota polis negeri ini dan enam orang awam menerima sama ada Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Juara Inte­griti.

Sementara itu, bersempena Hari Polis Ke-212, Mohd. Khalil berkata, revolusi yang dihadapi polis menunjukkan pasukan itu merupakan sebuah institusi yang berpegang kepada Rukun Negara dan ikrar taat setiap mereka tanpa berbelah-bahagi.

Tambahnya, PDRM adalah entiti yang akan berkorban untuk kesejahteraan negara dalam apa jua keadaan, susah atau se­nang, hujan atau panas sekali gus tetap menjalankan tanggungjawab walaupun dikecam atau diugut.

“Hari ini perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang disampaikan dan dibacakan serentak seluruh negara, ia pendek, tepat dan penuh bermakna kepada pasukan kita,” katanya.

Beliau berkata, mesej yang ingin disampaikan adalah mudah iaitu polis masih relevan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini