LONDON 22 Mac – Penjaga gol Scotland, Craig Gordon memberi amaran kepada rakan sepasukannya bahawa tidak mustahil untuk pasukan kerdil seperti San Marino mencipta kejutan terhadap mereka apabila kedua-dua negara itu bertemu dalam aksi kelayakan Kumpulan I Euro 2020, Ahad ini.
Skuad kendalian Alex McLeish menerima tamparan hebat apabila tewas 0-3 kepada Kazakhstan di Arena Astana, semalam dalam aksi pembukaan sekali gus mencetuskan tanda tanya terhadap kemampuan mereka untuk layak ke pusingan akhir Euro 2020.
Tewas kepada pasukan yang berada di kedudukan ke-117 sudah tentu membuatkan Scotland berasa malu dan Gordon yang tidak beraksi dalam perlawanan tersebut selepas tidak mendapat tempat bersama pasukan berkata pemain perlu bangkit daripada kekecewaan tersebut.
“Pastinya sukar apabila mereka akan menghadapi tempoh penerbangan yang paling lama dalam hidup mereka. Pemain ada enam jam untuk memikirkan persembahan yang ditunjukan di mana pasukan tidak boleh pergi lebih jauh jika dikekalkan.
“Ramai penyokong menyaksikan mereka bermain dan tentu mereka berasa kecewa dan sudah tentu pemain akan lebih terjejas dengan kekalahan tersebut.
“Saya pernah berada di tempat itu dan paling teruk ketika berada di bilik persalinan. Suasana menjadi sangat senyap.
“Mereka perlu bangkit. Penting untuk kami mencuba dan mendapatkan keputusan (kemenangan),” katanya. – AGENSI











