Satu maut insiden tembakan trem - Utusan Malaysia

Satu maut insiden tembakan trem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE 18 Mac – Selepas dunia dikejutkan dengan insiden serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu, Belanda ‘digegarkan’ pula dengan insiden tembakan di dalam sebuah trem di bandar Utrecht dekat sini, seorang dilaporkan terbunuh setakat ini.

Beberapa orang cedera ketika seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan secara rambang di dalam kenderaan itu di persimpangan 24 Oktoberplein kira-kira pukul 10.45 pagi waktu tempatan.

Bilangan mangsa yang meng­alami kecederaan masih belum didedahkan setakat ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Polis mengepung lokasi kejadian dengan suspek dikatakan berjaya melarikan diri.

BBC melaporkan, perkhidmatan keselamatan meminta Pusat Perubatan Universiti di Utrecht supaya membuka wad kecemasan bagi membantu mereka yang cedera.

“Lelaki itu melepaskan tembakan secara ‘menggila’,” jelas seorang saksi kepada agensi berita NU.nl.

Saksi lain memberitahu penyiar awam Belanda, NOS, dia melihat seorang wanita yang cedera dengan darah di tangan dan pakaiannya.

“Saya bawa dia ke dalam kereta dan membantunya. Apabila polis tiba, dia tidak sedarkan diri,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, polis Belanda tidak menolak kejadian itu mempu­nyai kaitan dengan pengganas.

Polis Belanda turut membuat pemantauan udara menggunakan helikopter.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte membatalkan perjumpaan dengan pakatan parti­nya berikutan insiden itu dan diberikan penerangan mengenai situasi semasa.

Ketua Bahagian Anti-keganasan Kebangsaan Belanda, Pieter-Jaap Aalbersberg memberitahu, pihaknya menghadiri ‘konsultasi krisis’ ekoran kejadian itu.

“Tahap keselamatan diper­tingkatkan ke tahap maksimum,” katanya.

Menurutnya, serangan turut berlaku di beberapa lokasi lain di Utrecht. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini