Sabrina gigih bangunkan syarikat makanan sihat - Utusan Malaysia

Sabrina gigih bangunkan syarikat makanan sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTEMUAN Pesona dengan Sabrina How, 30, berjalan lancar di ibu pejabat syarikatnya yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Disambut dengan senyuman manis, temu bual tersebut diatur bagi mengetahui rahsia gadis muda itu berjaya membangunkan sebuah syarikat pengeluar makanan sihat di bawah jenama Amazin’ Grace pada usia yang masih muda.

Memulakan cerita, anak jati Klang, Selangor yang kini menjadi Ketua Operasi Eksekutif di Amazin’ Grace itu memulakan kerjaya di sebuah syarikat e-runcit Zalora selepas tamat pengajian pada tahun 2011.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas itu, dia terlibat dengan beberapa syarikat start-up lain sebelum bekerjasama dengan seorang rakan, Amy Zheng pada tahun 2015.

Dengan semangat mahu mengubah gaya hidup dan pilihan makanan yang tidak sihat, Sabrina mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan membangunkan syarikat bersama Amy dan seorang lagi rakan kongsi, Lee Ching Yi.

“Kami memulakan Amazin’ Grace dengan proses kajian dan pembangunan produk serta menguji pasaran untuk produk-produk kami.

“Sejak itu, kami membangunkan produk makanan sihat sehingga berjaya memasuki pasar raya seperti Ben’s pada hujung tahun 2015,” ujar gadis berkelulusan Sains Aktuarial dari University of Kent, Britain itu.

Bermula kecil

Bermula dengan sebuah dapur kecil, kekurangan sumber tidak menghalang trio itu daripada mengembangkan perniagaan mereka. Kini, Amazin’ Grace mempunyai kilang penghasilan yang telah beroperasi pada tahun lalu dengan jumlah pekerja seramai 40 orang. Kilang tersebut turut mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kilang kami menghasilkan 50,000 unit produk sebulan dan berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Hong Kong,” katanya.

Amazin’ Grace menawarkan tiga jenis produk iaitu Granola, Nut dan Nut Butter yang menyasarkan golongan wanita bekerjaya antara 20 hingga 40 tahun. Kesemua produknya bebas daripada bahan pengawet, perisa tiruan dan gula halus.

Mengulas mengenai kerjaya sebagai usahawan, Sabrina berkata, banyak perkara baharu yang dipelajarinya sebagai pengasas syarikat berbanding bekerja dengan orang lain.

“Semasa bekerja dengan orang, kita tidak belajar banyak perkara kerana diberikan tugasan mengikut jawatan.

“Cabarannya memang berbeza apabila kita memilih untuk mengemudi syarikat sendiri kerana kita harus menguruskan pertumbuhan syarikat, kewangan, kebajikan pekerja dan keadaan cawangan kami di negara lain,” tambahnya yang mengambil inspirasi daripada syarikat-syarikat makanan besar seperti Kellog’s dan Nestle.

Katanya, selain itu, resipi rahsia untuk mengemudi sesebuah syarikat adalah meyakini rakan kongsi untuk mengurang risiko ketidaktentuan dalam syarikat.

Cita rasa Malaysia

Mengimbau kenangan semasa memulakan syarikat, dia masih ingat apabila bersama-sama dengan rakan kongsi menggunakan wang simpanan untuk membeli aset selain bagi pelaburan untuk pertumbuhan dan pemasaran.

Dalam pada itu, Sabrina berkata, mereka menjadikan pelanggan sebagai sebahagian daripada perkembangan syarikat dengan memberi maklum balas kepada respon mereka terutama mengenai resipi atau variasi produk yang diinginkan daripada Amazin’ Grace.

“kebanyakan menu-menu sihat banyak menggunakan bahan-bahan yang digemari pengguna Barat, jadi kami menawarkan kelainan dengan menggunakan bahan-bahan tempatan seperti pandan dan gula melaka bagi menyerlahkan cita rasa Malaysia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini