KUALA LUMPUR 25 Mac – Kemarau 16 tahun negara tanpa pingat emas 200 meter lelaki dalam Sukan SEA mampu berakhir di Manila.
Itu tegas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim yang yakin emas tersebut mampu dituai menerusi bintang baharu olahraga negara, Russel Alexander Nasir Taib.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas 200m dalam kempen Sukan SEA ialah pada 2003 di Hanoi, Vietnam menerusi Nazmizan Muhammad.
Kata Karim, kini tiada yang mustahil buat olahraga negara terutama selepas menyaksikan keupayaan Russel mencipta rekod kebangsaan 200m, semalam.
“Saya sudah jangka dia mampu perbaharui rekod kebangsaan 200m namun tidak menduga dalam tempoh terdekat.
“Saya juga tidak pernah melihat dalam sejarah olahraga negara ada atlet negara yang mampu melakukan catatan seperti Russel.
“Saya percaya jika Russel kekalkan prestasi tidak mustahil dia mampu meraih emas 200m Sukan SEA di Manila nanti,” kata Karim.
Semalam, Russel, 21, mencatat 20.77 saat ketika memenangi pingat perak kejohanan Klasik Queenland di Australia.
Catatan Russel melebur rekod milik jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan 20.90s dilakukan dua tahun lalu.
Sebelum ini Russel gagal dalam percubaan pertama memperbaharui rekod kebangsaan 200m pada hujung Januari lalu apabila mencatat 20.94s.
Usaha kali kedua atlet pecut berdarah campuran Malaysia-Australia itu dilihat pada awal bulan ini apabila mencatat masa 21.10s.
Russel mula menjadi tumpuan sewaktu Sukan Malaysia 2018 selepas meraih pingat gangsa dalam acara 200m.











