KUALA LUMPUR 28 Mac – Sebanyak 20 belon udara panas pelbagai bentuk mewarnai Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa ke-10 yang berlangsung di Monument Alaf Baru, Presint 2 di sini, pagi tadi.
Penyertaan kali ini melibatkan 14 buah negara antaranya Taco the Octopos dari Jepun; Princess Nelly (Belgium); Clown Bruno (Slovakia); Pink Gnome (Sepanyol) dan Black Bear (Taiwan).
Pada tahun ini, fiesta itu diadakan selama empat hari dan dijangka lebih meriah dengan pelbagai aktiviti dan tarikan baharu termasuk persembahan Night Glow iaitu api dari belon udara panas memancarkan cahaya mengikut rentak muzik.
Kesemua belon dipamerkan selama sejam bermula pukul 7 pagi sepanjang fiesta.
Bayaran sebanyak RM20 untuk dewasa manakala RM15 bagi kanak-kanak dan pengunjung berpeluang masuk ke kawasan acara untuk melihat secara dekat belon udara panas.
Selain itu, kira-kira 100 gerai pelbagai jenis makanan turut memeriahkan fiesta kali ini.- UTUSAN ONLINE











