Ronda-ronda kota raya Jakarta - Utusan Malaysia

Ronda-ronda kota raya Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sibuk? Macet? Dua perkataan sinonim dalam fikiran mengenai Jakarta, Indonesia. Mungkin ramai yang lebih suka mencari ketenangan ke Jogjakarta, Surabaya atau Bukit Tinggi sekiranya ke Indonesia.

Tetapi kali ini, penulis dan ahli keluarga yang lain memilih bandar raya yang mempunyai lebih 10 juta penduduk iaitu Jakarta untuk bercuti. Pesawat pada asalnya berlepas pada pukul 1.30 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tetapi telah tertangguh sehingga 4.30 petang. Ini menyebabkan ketibaan kami di Jakarta agak lewat.

Sebaik sahaja tiba di Jakarta hampir pukul 8 malam, kami terus ke lokasi penginapan di Central Park Residence Tower Amandine. Menariknya di sini terdapat Mall Central Park dan Sogo Department Store di bawah apartmen tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tanpa membuang masa, keesokan hari kami mengambil Grab untuk ke Pasar Mayestik mencari kain lace. Di sini, terdapat banyak kedai yang menjual fabrik. Kami memilih kedai jenama Fancy. Harga yang ditawarkan agak murah jika dibandingkan di Malaysia tetapi kualiti kain berbeza-beza mengikut harga. Semakin mahal kain itu, semakin tinggi kualitinya. Kain renda yang dijual serendah RM9 satu meter.

Setelah kedua-dua belah tangan penat menggendong beg plastik berisi kain, kami menuju ke restoran Seafood Kelapa Gading. Harga makanan laut di sini berpatutan. Jangan lupa mencuba juadah ketamnya.

Selain beli-belah, Jakarta turut menawarkan pelbagai tempat menarik untuk dilawati. Antaranya Tugu Monumen Nasional (Monas) dan Taman Mini Indonesia Indah. Taman Mini Indonesia Indah merupakan suatu kawasan taman wisata bertema budaya Indonesia di Jakarta Timur. Terletak di kawasan seluas 150 hektar. Tidak ketinggalan, taman itu turut mempamerkan kebudayaan bangsa Indonesia meliputi berbagai aspek kehidupan harian masyarakat di 33 wilayah di Indonesia. Antara yang menarik Istana Anak-Anak Indonesia.

Jakarta juga sinonim dengan makanan yang enak. Selain daripada menu tipikal seperti ayam penyet dan pecal lele, banyak lagi restoran menarik yang boleh dicuba. Penulis tertarik dengan konsep So Fashion Cafe terletak di dalam Mall Taman Anggrek. Bertemakan merah jambu dari luar sehingga ke dalam kafe, restoran itu menawarkan pelbagai menu yang lazat.

Dalam pada itu penulis juga tidak melepaskan peluang mencuba udon dan tempura di Restoran Marugame Udon yang memiliki sijil halal terletak di pusat beli belah di bawah apartmen penulis tinggal selama berada di Jakarta.

Macet memang macet, tetapi jika memilih tempat yang dekat dengan pelbagai kemudahan, percutian anda di Jakarta akan menjadi lebih ceria. Malah Indonesia menawarkan pelbagai aplikasi penghantaran makanan menerusi Grab dan Gojek. Tempah sahaja menggunakan telefon pintar, mudah kan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini