Rombongan Chris Leong yang ditahan di Indonesia selamat tiba di KLIA - Utusan Malaysia

Rombongan Chris Leong yang ditahan di Indonesia selamat tiba di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Pakar tulang kaedah perubatan terapi Cina Tit Tar, Datuk Chris Leong bersama 15 orang rombongan yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Indonesia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Chris atau nama sebenarnya, Leong Kong Yan, 43, sebelum ini ditahan selama dua bulan di negara itu sejak 9 Januari lalu kerana melanggar peraturan visa melancong di negara berkenaan.

Menurutnya, dia bersama rombongannya tiba di Palembang pada 8 Januari lalu untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan namun, ditahan oleh Jabatan Imigresen Indonesia keesokan harinya selepas terdapat salah faham dalam hal ehwal dokumentasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami pernah pergi menjalankan kerja-kerja kebajikan di Indonesia beberapa kali dan tidak mengalami masalah seperti ini.

“Kami ditahan selama dua bulan kerana proses pengesahan dokumen mengambil masa yang lama. Sepanjang dalam tahanan, kami dilayan dengan baik dan saya amat berterima kasih kepada Jabatan Imigresen Indonesia kerana menjaga kami semua,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA di sini hari ini.

Hadir menyambut ketibaan Leong dan 15 orang rombongan itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaacob hadir.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan pakar tulang itu ditahan Jabatan Imigresen Indonesia di Palembang bersama 19 sukarelawan untuk agensi Chris Leong Method (CLM) kerana melanggar peraturan visa melancong pada 8 Januari lalu.

Beliau dan rombongannya ditahan oleh Jabatan Imigresen di negara berkenaan atas kesalahan mengikut Fasal 122 Undang-Undang Imigrasi Indonesia.

Chris dilaporkan ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Palembang bersama pasukan sukarelawannya itu yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, dua warga Hong Kong dan seorang warga Belgium serta Ireland.

Mengulas lanjut, menurut Chris, kes tersebut telah ditutup dan beliau kini sudah bebas daripada sebarang pendakwaan di Indonesia.

“Mengikut perancangan sebelum ini, kami ke Indonesia untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan tabib cina dengan mengadakan demontrasi kepada warga emas.

“Jadi, saya bercadang untuk meneruskan  kerja-kerja kebajikan itu selepas ini dan akan membuat kertas kerja yang lengkap agar perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shahrul Ikram berkata, kes tersebut perlu dijadikan pengajaran oleh rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati undang-undang negara lain. 

Beliau berkata, setiap warganegara Malaysia perlu sedar bahawa menggunakan visa pelancong untuk melakukan aktiviti yang bersifat perniagaan adalah dilarang dan dalam kes berkenaan dan pihak berkuasa Indonesia amat tegas mengenai perkara itu.

“Mungkin Chris Leong menganggap bahawa mereka melakukan aktiviti kebajikan di negara itu, sebaliknya, visa melancong tidak boleh digunakan untuk tujuan lain. 

“Kita mungkin beranggapan bahawa tujuan ke sana untuk kebajikan dan bukan urusan perniagaan. Tetapi, bagi pihak keselamatan di Indonesia ia merupakan satu urusan perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita .

Muhammad Shahrul Ikram berkata, selepas disiasat selama dua bulan dan atas rayuan yang dibuat Wisma Putra, kesemua mereka dibebaskan apabila pihak berkuasa Indonesia memutuskan tidak meneruskan kes itu ke mahkamah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini