SEBERANG PERAI – Gara-gara tidak berpuas hati dengan kehadiran teman lelaki kakaknya yang menumpang di rumah keluarganya, seorang remaja cedera akibat dikelar oleh lelaki itu selepas berlaku pergaduhan di antara mereka di sebuah rumah di Taman Seri Kijang, Bukit Mertajam di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, mangsa berusia 18 tahun tersebut cedera dengan kesan kelaran pada perut, betis kanan dan pergelangan tangan kiri dipercayai dikelar menggunakan sebilah parang oleh suspek berusia 20 tahun.
Kejadian itu dikatakan tercetus ketika suspek dan kakak mangsa baru pulang dari rumah kelurga suspek di Parit Buntar, Perak.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan mendapati, pergaduhan berlaku kerana mangsa tidak menyukai suspek menumpang di rumah keluarganya.
“Mangsa ada memberitahu mahu memukul lelaki itu dan kakaknya jika ternampak mereka di rumah itu.
“Oleh sebab itu, suspek telah membawa parang dan rotan dari rumahnya di Parit Buntar sebelum pergaduhan itu tercetus dan disaksikan bapa mangsa,” katanya sebentar tadi.
Menurut Nik Ros Azhan, mangsa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya di sini dan dilaporkan stabil, manakala suspek ditahan reman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini bagi siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











