Tidur berhimpit dan berkongsi tilam di dalam sebuah bilik sempit sudah menjadi kebiasaan buat enam beranak di Kampung Alur Damat di Kuala Nerus, Terengganu ekoran desakan hidup dan kemiskinan.
Tilam nipis bersaiz queen itu bukan sekadar menjadi tempat tidur, bahkan turut berfungsi sebagai ruang makan dan rehat di samping kawasan bermain buat lima anak Nor Roslina Abd. Razak yang berusia antara tiga hingga 11 tahun.
Menurut Nor Roslina, segala aktiviti mereka terhad di dalam bilik memandangkan rumah usang peninggalan keluarga mentua yang dihuni sejak mula berkahwin itu semakin uzur dengan lantai dan dinding semakin reput serta berlubang.
Suri rumah berusia 32 tahun itu berkata, keadaan rumah yang sering dinaiki air turut menyebabkan kebanyakan barangan termasuk peti sejuk diletakkan di dalam bilik kecil itu sehingga menjadikan ruang tersebut sesak seolah-olah sebuah reban ayam.
Katanya, kekangan kewangan membuatkan mereka sekeluarga hidup dalam keadaan tidak selesa selama bertahun-tahun di rumah tersebut. Bahkan untuk membaiki pintu serta tingkap yang lopong pun tidak mampu dan terpaksa ditutup dengan langsir di samping tandas dan tempat memasak terletak di ruang yang sama.
Lebih menyedihkan apabila tiga anaknya, Muhammad Asmawi Yuszaidi, 11; Nur Sairah, 10; dan Adi Farhan, 9, tidak lagi bersekolah selepas ketiadaan bapa mereka. Dua lagi anaknya, Nur Safirah, 4, dan Alif Syaaban, 3, hanya diberikan susu pekat manis sebagai pengganti susu tepung.
Dia yang hilang tempat bergantung apabila suaminya, Yuszaidi Mansor, 37, ditahan pihak berkuasa lebih enam bulan lalu, terpaksa mencari pendapatan dengan mengutip barangan lusuh dari tong sampah demi menyara lima anaknya.
Setiap hari sekitar pukul 11 pagi, Nor Roslina akan menunggang motosikal dengan ditemani anak sulung dan anak bongsu bagi menyelongkar tong sampah di sekitar kawasan perumahan untuk mencari besi dan botol demi meraih pendapatan kira-kira RM10 sehari untuk membeli makanan.
“Sekitar pukul 3 petang, saya habis ‘bekerja’. Saya akan menjual barangan lusuh yang dikutip ini. Selepas itu barulah kami anak-beranak dapat makan. Hasil tak banyak, biasanya dalam RM9 dan RM10 sahaja.
“Dengan duit itu saya beli mi segera untuk alas perut anak-anak yang tidak makan dari pagi. Menjelang malam, barulah kami makan nasi dengan telur goreng. Jika tiada duit beli lauk, saya cuma mampu masak nasi air (bubur kosong) untuk anak,” katanya kepada S2, baru-baru ini.
Menurut Nor Roslina, jika terpaksa pulang dengan tangan kosong, maka kepada bapa mentua yang tinggal sebelah rumah menjadi tempat dia bergantung harap bagi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan.
Katanya, memandangkan anak-anak masih kecil, sukar untuk dia keluar mencari pekerjaan tetap dan meninggalkan anak-anak bersendirian di rumah dalam tempoh yang lama.
Nasib enam beranak itu bagaimanapun mendapat perhatian ramai pihak selepas kisahnya tular dalam media sosial baru-baru ini.
Dia yang merupakan penerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu turut dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi lain yang bersedia menawarkan sumbangan termasuk membaik pulih rumah usang tersebut.
“Terima kasih juga kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang menjadi pemudah cara bagi membantu kami sekeluarga. Saya sedia berpindah ke rumah lain jika rumah ini tidak dapat dibaik pulih.
“Saya cuma berharap anak-anak dapat tinggal di kediaman yang selesa untuk mereka membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Mahu tiga anak bersekolah semula
Tidak tahan dengan ejekan rakan-rakan terhadap bapa mereka menyebabkan ketiga-tiga anak Nor Roslina enggan ke sekolah sejak lebih enam bulan yang lalu.
Walaupun berulang kali dipujuk dan dinasihatkan, namun tiga beradik itu tetap tidak mahu ke sekolah. Keadaan tersebut menimbulkan keresahan buat Nor Roslina akan masa depan anak-anaknya.
Katanya, Muhammad Asmawi, 11; Nur Sairah, 10, dan Adi Farhan, 9, sememangnya mempunyai masalah pembelajaran dengan ketiga-tiganya masih tidak tahu membaca sehingga kini.
Justeru, menjadi impian Nor Roslina agar ketiga-tiga anaknya dapat bersekolah semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot sekurang-kurangnya sehingga masing-masing tamat tingkatan lima.
“Sejak abah mereka tiada, setiap kali saya hantar anak-anak ke sekolah, mereka akan balik semula ke rumah.
“Anak-anak tidak suka ke sekolah kerana sering diejek murid lain. Saya bimbang kalau anak-anak ‘naik angin’ dan bertindak katuk (pukul) anak orang lain,” katanya.
Sementara itu, Adi Farhan berkata, dia mula rindu untuk ke sekolah semula setelah berbulan-bulan ‘bercuti’ di rumah.
Murid tahun tiga itu mahu berjumpa rakan-rakan di samping menikmati nasi goreng ayam dan air milo percuma di kantin yang disediakan menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
“Sebelum kelas bermula, saya akan makan makanan RMT dengan kakak, Nur Sairah di kantin. Semasa rehat pun kami makan bersama-sama,” katanya.

Kuasa viral percepat tindakan
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Alur Damat di Kuala Nerus, Terengganu berterima kasih dengan keprihatinan pelbagai pihak dan agensi terlibat dalam menyalurkan bantuan terhadap enam beranak yang dihimpit kemiskinan di kampung itu.
Setiausahanya, Adam Ismail berkata, tindakan pantas dan segera mereka secara tidak langsung membela nasib keluarga berkenaan dan diharap dapat mengubah kehidupan enam beranak itu ke arah lebih baik dan selesa.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini.
“Sebelum ini kita berusaha membantunya. Antaranya kita tolong majukan permohonan bantuan kepada pihak berkenaan, tetapi seperti kita sedia maklum proses tindakan itu mengambil sedikit masa. Namun, kesan berita mereka yang tular baru-baru ini mempercepatkan urusan tersebut,” katanya.
Menurut Adam, MPKK sentiasa komited membantu Nor Roslina dan anak-anaknya memandangkan wanita itu tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga.
Katanya, pada November lalu, MPKK dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mereka menukar atap rumah Nor Roslina yang rosak akibat ribut.
Sementara itu bapa mentua Nor Roslina, Mansor Harun, 68, berkata, sejak isterinya diserang strok, masalah itu sedikit sebanyak membataskan usaha mereka membantu cucu-cucunya. Ini kerana dia perlu menanggung kos perubatan yang mencecah RM700 sebulan.
Katanya, dengan pendapatan sebagai kelindan lori sebanyak RM1,600 sebulan, hanya bantuan makan dan minum yang mampu disalurkan kepada menantunya.
“Kalau makan minum bolehlah saya bantu, kalau nak banyak, tak cukup.
“Dengan sumbangan orang ramai ini secara tidak langsung dapat memastikan kehidupan lebih baik untuk cucu dan menantu saya,” katanya.











