GUA MUSANG 31 Mac – Ratu Asli menghiasi hari penutup Karnival Orang Asli yang berlangsung selama dua hari di daerah ini, petang semalam.
Seramai 10 orang wanita Orang Asli berhias cantik dan memakai busana tradisional suku kaum Temiar.
Lanisa Rosli, 15, dari Kampung Teranek, Kuala Betis di sini yang memakai pakaian tradisional suku Temiar dinobatkan sebagai Ratu Asli dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM300.
Manakala, naib juara dimenangi Ezilah Ezete Mani, 13, menerima hadiah wang tunai RM200, tempat ketiga Minah Busu Akom, 44 (RM100) dan tempat keempat Dona Sani, 17 (RM50).

Lanisa berkata, dia begitu gembira apabila dinobatkan sebagai ratu Orang Asli 2019 sempena karnival Orang Asli yang diadakan buat julung kalinya di Kuala Betis.
Katanya, dia mengambil masa lebih dua jam untuk menghias diri supaya keadaan wajahnya berseri disamping mempergayakan pakaian tradisional suku kaumnya.
“Saya gembira apabila dapat memperkenalkan pakaian tradisional wanita Orang Asli kepada masyarakat luar yang hadir ke kampung kami,” katanya.
Karnival Belia Orang Asli Gua Musang 2019 itu anjuran bersama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC); Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Jajahan (MBJ).
Karnival itu diadakan selama dua hari berakhir semalam dan perasmian penutup dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Zuraidin Abdullah.
Yang turut hadir, Presiden MBM, Jufitri Joha. Penganugerahan ratu cantik terbabit dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff.
Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, karnival itu disertai 3,000 belia Orang Asli seluruh daerah ini berjaya menyerlahkan potensi dan bakat kaum itu merangkumi kesenian, sukan dan kebudayaan.
Katanya, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah gotong-royong balai sewang, sukan rakyat, makan dalam buluh, ceramah agama Islam, karaoke, demonstrasi mekap dan sumpit.
“Karnival itu bermula di Pos Brooke, Pos Hendrop, Pos Tuel, Pos Blau dan Kuala Betis.
“Kita juga turut mengadakan dialog bersama belia Orang Asli yang mahukan lebih banyak bantuan daripada pihak kerajaan termasuklah kemudahan infrastruktur, pembangunan sosial, pendidikan dna peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











