Rameli puas hati beri keterangan kepada SPRM - Utusan Malaysia

Rameli puas hati beri keterangan kepada SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr. Rameli Musa berpuas hati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembayaran cek sejumlah RM1.4 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Jelasnya, beliau juga telah menyerahkan satu dokumen berkenaan dengan cek tersebut kepada pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

“Saya sudah memberi semua keterangan dan tidak tahu sama ada akan dipanggil semula atau tidak.

“Saya berpuas hati (memberi keterangan) dan telah menerangkan semuanya” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Terdahulu, Rameli tiba di pekarangan ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 9.55 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyoto Vellfire.

Selain Rameli, bekas exco Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidi Abdul Talib dan kerani parti itu, Mohd. Khoirol Anwar Mat Zuki tiba di SPRM kira-kira pukul 10 pagi tadi bagi membantu siasatan dana RM90 juta kepada Pas.

Kedua-dua lelaki itu juga selesai memberi keterangan kes berkenaan kira-kira pukul 3.20 petang dan terus meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Pas membayar sebanyak RM1.4 juta kepada Clare berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain mendakwa mempunyai bukti berupa dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan.

Peguam Clare, Americk Sindhu Singh mengesahkan laporan Sarawak Report mengenai bayaran cek berjumlah RM1.4 juta daripada perantaraan Pas kepada Sarawak Report adalah tulen.

Blog Sarawak Report selepas itu memuat naik beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia serta sekeping cek Bank Islam yang mengesahkan wang bernilai RM1.4 juta itu selain pengakuan Clare pihaknya telah menerima bayaran dibuat oleh Abdul Hadi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun menegaskan, bukti dikemukakan Clare seperti beberapa gambar salinan dokumen termasuk sekeping cek Bank Islam tertera nilai RM1.4 juta itu menunjukkan bayaran tersebut bukan dibuat sama ada oleh Pas mahupun Abdul Hadi sendiri.

Sabtu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa akaun terbabit benar-benar wujud di bawah pemilik bernama Rameli Musa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN