PADANG BESAR 25 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan kilang usahawan Mara ‘MFI World Sdn. Bhd’ yang terletak di Beseri, Padang Besar baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Mara Negeri, Lukman Hakim Hasan dan Pengarah MARDI Negeri, Dr Fadhilnor Abdullah.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof.
Penolong Pengurus MFI World Sdn.Bhd., Mohamed Nizam Osman mempersembahkan taklimat mengenai pengoperasian serta produk-produk yang dipasarkan dan seterusnya mengiringi baginda melawat kilang syarikat berkenaan.
Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan bersempena sambutan hari ulang tahun Mara yang ke-53 disambut pada 1 Mac yang lalu.
Bersempena majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan produk susu terbaru syarikat berkenaan iaitu ‘N7PLUS INGENIOUS.
Untuk rekod syarikat ini mendapat geran dan pinjaman daripada pihak Mara serta juga khidmat bimbingan daripada pihak MARDI khususnya dari aspek penyelidikan dan pembangunan dalam usaha mengembangkan perniagaan dengan jayanya sehingga ke hari ini. – Utusan Online











