‘PSG..tunggu aku datang’ - Utusan Malaysia

‘PSG..tunggu aku datang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN cita-citanya untuk beraksi bersama kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) boleh menjadi bahan lawak jenaka atau dianggap impian yang terlalu menggunung tinggi untuk direalisasikan, bagaimanapun, tiada salahnya jika Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman memasang impian untuk beraksi bersama pasukan handalan dunia itu.

Menyedari impiannya terlalu besar untuk digapai, seawal usia enam tahun lagi, Izhan sudah memulakan gerak kerja bagi mengasah bakatnya sebagai penjaga gol.

Kata Izhan, untuk bermain bersama kelab yang berpangkalan di Perancis itu, dia perlu bermula dari liga bawahan di negara tersebut memandangkan ranking Harimau Malaya perlu berada di tahap tertentu sebelum membolehkan pemain negara ini beraksi dalam liga elit di Eropah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sasaran saya selepas lima tahun bermula sekarang, saya mahu bermain di luar negara dan membawa pengalaman itu ke dalam skuad kebangsaan. Kelab yang saya paling minati adalah PSG. Saya memang minat untuk beraksi di Perancis.

“Kalau saya ada peluang meskipun terpaksa bermula dari liga bawahan di Perancis, saya sanggup sebab saya tahu saya perlu bermula dari bawah.

“Lagipun, liga bawahan di negara barat bola sepak moden mereka lebih baik dan ini bermakna pembangunan liga itu juga bagus. Jadi, berbaloi untuk saya bermula dari bawah,” katanya yang pernah mendapat tawaran daripada Anderlecht, kelab Belgium, namun, tidak dimaklumkan secara rasmi.

Izhan yang ketika ini menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 (B-19) negara turut mensasarkan untuk bermain di kelab Asia dalam tempoh lima tahun terdekat bagi merealisasikan impiannya beraksi di Perancis.

“Kalau ada rezeki, saya cuba untuk menghubungi ejen yang saya kenal untuk bermain di luar negara atau pergi sesi percubaan di kelab Thailand atau Jepun. Jika tidak dapat, saya cuba untuk bermain dalam mana-mana pasukan Liga Super atau Liga Perdana,” katanya.

Izhan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini juga menyedari persaingan posisi penjaga gol begitu tinggi di peringkat skuad kebangsaan, namun, dia tetap positif untuk menyarung jersi Harimau Malaya suatu hari nanti.

“Saingan dengan skuad B-19 pun sudah tinggi. Saya perlu berlatih macam biasa, buat apa yang jurulatih suruh. Tidak banyak perbezaanpun dan saya percaya buat benda baik kena sabar kerana peluang itu ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini