Prestasi unggul institusi kewangan kukuhkan keyakinan pelabur - Utusan Malaysia

Prestasi unggul institusi kewangan kukuhkan keyakinan pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Mac – Prestasi unggul bank komersil dan institusi kewangan Malaysia pada 2018, dengan sebahagiannya mencatatkan keuntungan tertinggi, menjadi pemacu peningkatan keyakinan dalam pertumbuhan pendapatan korporat memandangkan sektor tersebut menerajui peranan utama dalam sistem kewangan dan ekonomi.

“Keputusan-keputusan yang memberangsangkan itu telah memberi nafas kepada para pelabur dan sekurang-kurangnya kita tidak akan melihat perubahan drastik dalam pertumbuhan pendapatan korporat,” kata Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee kepada Bernama.

Penganalisis-penganalisis sebelum ini meramalkan pendapatan korporat yang lebih rendah bagi 2019 iaitu pada sekitar tiga peratus, lebih baik daripada unjuran satu peratus pada 2018, dipacu oleh sektor perbankan serta pemulihan dalam harga minyak sawit dan minyak mentah.

Yee menjelaskan bahawa pertumbuhan pinjaman dan kemerosotan yang lebih rendah, terutamanya pada suku keempat, telah memberikan sokongan yang diperlukan kepada sektor perbankan dan untuk tahun semasa, sasaran pertumbuhan pinjaman sebanyak lima peratus hingga enam peratus adalah munasabah.

“‘Tetapi kita juga perlu mengambil perhatian bahawa bank-bank ini akan berhadapan dengan cabaran dari segi mampatan margin serta kemungkinan jangkaan pertumbuhan yang lebih rendah,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan kewangan masih baik walaupun pertumbuhan ekonomi adalah perlahan iaitu sebanyak 4.7 peratus pada 2018, dan wujud peningkatan kemerosotan yang berselang-seli semasa pertengahan tahun yang telah menyaksikan kemerosotan kasar nisbah naik sehingga 1.60 peratus pada Mei 2018 sebelum surut kepada 1.45 peratus pada hujung Disember 2018.

“Kita juga melihat margin faedah bersih menjadi agak mencabar dengan purata kadar pinjaman jatuh kepada 5.019 peratus pada Disember 2018 daripada tahap tertinggi sebanyak 5.065 peratus pada Julai 2018.

“Ini terjadi berikutan persaingan sengit untuk mendapatkan deposit. Oleh itu, pendapatan bukan faedah atau pendapatan berasaskan bukan dana (untuk perbankan Islam) akan menjadi faktor utama dalam melegakan mampatan margin yang dihadapi oleh sektor perbankan,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata angka terbaharu menunjukkan bahawa permohonan jumlah pinjaman telah menyusut sebanyak 5.4 peratus dari tahun ke tahun pada Disember 2019 dan begitu juga, jumlah kelulusan pinjaman menurun sebanyak 4.8 peratus dari tahun ke tahun pada Januari 2019.

“Oleh itu, kita menjangkakan pertumbuhan pinjaman industri akan menjadi sederhana pada tahun ini daripada pengembangan sebanyak 5.6 peratus pada 2018. Selepas melihat kepada prospek cabaran ekonomi yang dicetuskan oleh ketidakpastian luaran dan perbelanjaan domestik yang sederhana, kita meramalkan 2019 akan menyaksikan bank-bank ini akan lebih berhati-hati dalam aktiviti pinjaman mereka,” katanya.

CIMB Group Holdings Bhd melaporkan kenaikan sebanyak 25 peratus dalam keuntungan bersih untuk mencatat satu paras tertinggi pada RM5.58 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 31 2018 berbanding hanya RM4.48 bilion pada tahun sebelumnya, bagaimanapun, pendapatan menurun kepada RM17.38 bilion daripada RM17.63 bilion.

Kumpulan CIMB mempunyai sasaran pertumbuhan pinjaman sebanyak enam peratus sehingga tujuh peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, berbanding ramalan industri iaitu sebanyak lima peratus, di tengah-tengah jangkaan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar akan berkembang sebanyak 4.5 peratus dalam 2019.

Manakala, Malayan Banking Bhd (Maybank), menyaksikan kenaikan 7.9 peratus dalam keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2018 kepada RM8.11 bilion berbanding RM7.52 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya, dengan perolehan berkembang kepada RM47.32 bilion daripada RM45.58 bilion.

Bagaimanapun, bank tersebut mengekalkan pendirian konservatif mengenai prospek pertumbuhan pada 2019 berikutan peningkatan pelbagai ketidakpastian luaran.

Konglomerat-konglomerat kewangan lain seperti BIMB Holdings Bhd telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 10 peratus kepada RM682.06 juta berbanding RM619.84 juta pada tahun sebelumnya, keuntungan bersih Affin Bank Bhd bagi tahun kewangan 2018 meningkat 20.4 peratus kepada RM503.08 juta daripada RM417.85 juta dan Hong Leong Bank Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM687.25 juta pada suku kewangan kedua berakhir 31 Dis 2018 daripada RM683.07 juta.

Public Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.59 bilion pada tahun kewangan 2018, naik 2.2 peratus berbanding RM5.47 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya, manakala RHB Bank Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak 18.2 peratus kepada RM2.31 bilion pada tahun kewangan 2018 berbanding hanya RM1.95 bilion pada 2017.

RHB mengunjurkan pertumbuhan pinjamannya akan berkembang sebanyak 5.0 peratus sehingga 5.5 peratus, disokong oleh segmen pengguna dan perniagaan.

Penyedia perkhidmatan pembiayaan pinjaman am, RCE Capital Bhd, menyaksikan keuntungan bersihnya menokok sebanyak 9.4 peratus kepada RM71.80 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Disember 2019, berbanding dengan RM65.65 juta sebelum ini, berikutan pendapatan faedah bersih yang lebih baik.

Perolehan meningkat 6.8 peratus kepada RM195.17 juta daripada RM182.66 juta.

RCE melahirkan keyakinan bahawa 2019 akan menjadi tahun yang menguntungkan.

Sementara itu, rangka kerja kadar asas berdasarkan kos dana bank, yang berfungsi sebagai kadar rujukan utama untuk penetapan harga pinjaman runcit seperti pajakan, telah membantu bank-bank mengekalkan prestasi kewangan mereka, dengan BIMB menjadi bank terbaru dalam meningkat kadar asas dan kadar pembiayaan asas sebanyak 25 mata asas berkuatkuasa Februari 2018.

Hong Leong, CIMB dan Bank Muamalat Malaysia Bhd adalah antara bank-bank yang telah menaikkan kadar asas mereka, masing-masing sebanyak 10 hingga 13 mata asas. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN