JEMPOL – Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 17.1 gram bernilai kira-kira RM600 dalam serbuan keatas sebuah rumah di Felda Pasoh 3, Simpang Pertang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang dilaporkan hilang pada tahun 2018 di rumah berkenaan.
“Semasa melakukan serbuan, polis nampak seorang masuk ke dalam bilik kedua rumah tersebut. Anggota polis memperkenalkan diri dan memanggil lelaki itu beberapa kali supaya membuka pintu jeriji rumah itu.
“Dengan sedikit kekerasan, pintu jeriji itu berjaya dibuka. Pemeriksaan di bilik kedua rumah tersebut menemui lelaki itu sedang berdiri di belakang pintu dalam keadaan ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pemeriksaan polis dalam bilik tersebut menemui tiga paket plastik lutsinar disyaki dadah mengandungi dadah jenis heroin 17.1 gram di atas lantai.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di stor di belakang rumah itu menemui motosikal jenis Yamaha LC yang dilaporkan hilang dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115.
“Lelaki itu memiliki rekod lampau satu kes jenayah dan tiga kes narkotik. Keputusan ujian saringan air kencingnya positif dadah. Kes disiasat mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE











