KLANG – Polis Klang Selatan sedang mengesan seorang lelaki yang merupakan saksi kes pembunuhan berlaku di sebuah kawasan di Pandamaran Jaya, pada September tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berkenaan adalah Ahmad Harith Ng Abdullah, 20, yang beralamat di Jalan Meru di sini.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi pada 17 September itu, seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditikam di perut dengan senjata tajam di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian.
“Kes kemudiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Amar berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Syed Mohd. Robart di talian 019-7505 555 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan iaitu 03-3376 2222,” katanya. – K! ONLINE











