Perubahan posisi beri rezeki kepada Latiff - Utusan Malaysia

Perubahan posisi beri rezeki kepada Latiff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – Abdul Latiff Suhaimi menyifatkan penyertaannya dalam latihan pusat skuad negara kali ini berpunca daripada perubahan posisi dari tengah ke pertahanan dalam pasukan Selangor sepanjang Liga Malaysia.

ABDUL LATIFF
ABDUL LATIFF 

Bek tengah berusia 30 tahun itu percaya ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe turut berkongsi alasan tersebut apabila menamakannya sebagai persediaan menghadapi Piala Airmarine 2019, minggu depan.

“Kali terakhir saya menyarung jersi negara ialah pada 2016 sepanjang Jelajah Oceania dan Kelayakan Piala Asia, jadi agak lama untuk dipanggil kembali bersama pasukan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika itu saya bermain di posisi tengah. Mungkin bila berubah ke benteng pertahanan jadi faktor saya terpilih,” katanya sebelum sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini bersama 24 rakan sepelatih yang lain.

Bagi Latiff, seolah-olah satu kebetulan pula kerana tiga tahun lalu dia juga bermain siri persahabatan menentang Singapura dan Afghanistan iaitu dua daripada pasukan yang menyertai Piala Airmarine 2019, selain, Oman.

Mengenai harapannya bersama skuad Cheng Hoe menjelang kejohanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 20 hingga 23 Mac itu, Latiff berkata, dalam skuad Harimau Malaya masih ada beberapa pemain berpengalaman dan dia mengenali baik pemain-pemain berkenaan.

“Tekad saya ialah beri yang terbaik untuk pasukan dan cuba dapatkan tempat dalam kesebelasan utama,” katanya merujuk nama-nama tonggak negara seperti Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria.

Sementara itu, rakan sepasukan dalam skuad Selangor, Abdul Halim Saari berkata, sekalipun dikelilingi ramai tonggak senior kebangsaan termasuk daripada skuad naib juara Piala AFF 2018, dia yakin peluangnya untuk terpilih masih terbuka.

“Tugas saya cuma bekerja keras dan berikan usaha terbaik sambil cuba menimba pengalaman dan petua tertentu daripada mereka yang lebih senior,” kata pemain berusia 25 tahun yang kali pertama dipanggil menyertai latihan pusat Harimau Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini