ROTTERDAM 24 Mac – Virgil van Dijk berkata, pertemuan Belanda dengan Jerman dalam aksi kelayakan Euro 2020 akan menjadi perlawanan istimewa dengan mereka berhasrat untuk mengulangi kejayaan 3-0 seperti yang dilakukan mereka dalam aksi Liga Kebangsaan, Oktober lalu.
Pertahanan Liverpool itu membuka tirai jaringan di Arena Johan Cruijff ketika skuad Ronald Koeman menundukkan Jerman dengan Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum melengkapkan kejayaan selesa mereka.
Kedua-dua pasukan kemudiannya terikat 2-2 di Gelsenkirchen, sebulan kemudian dengan Van Dijk menjadi penyelamat menerusi jaringan pada masa kecederaan selepas Belanda bangkit daripada ketinggalan 2-0.
“Ini adalah perlawanan istimewa dan penuh bersejarah. Semua orang perlu rasakan perkara yang sama.
“Saya dapat rasakan keistimewaan perlawanan ini. Kami berada pada saat setiap mata sangat penting, jadi esok adalah perlawanan penting,” kata Van Dijk.
Belanda hanya tewas sekali daripada 10 perlawanan terakhir mereka untuk tempoh setahun dan mereka memulakan kempen kelayakan Euro dengan kemenangan 4-0 ke atas Belarus dengan Va Dijk turut meletakkan nama selaku penjaring.-AGENSI











