Perompak bawa lari van keselamatan, wang tunai RM105,000 - Utusan Malaysia

Perompak bawa lari van keselamatan, wang tunai RM105,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG – Tiga pekerja van keselamatan yang membawa wang tunai jutaan ringgit menghadapi detik cemas apabila dirompak dalam satu kejadian di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Rawang, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS ) di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, tiga suspek warga tempatan itu berjaya melarikan wang tunai bernilai RM105,000.

Sumber berkata, tiga pekerja lelaki yang sedang membawa keluar wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) di situ diserang suspek yang datang dengan menaiki motosikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua suspek terus menaiki van berkenaan dan turut melarikan dua pekerja syarikat keselamatan itu.

“Pemandu van itu pula telah ditinggalkan di pekarangan stesen minyak tersebut dan senapang angin mereka turut diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, lebih satu kilometer dari lokasi kejadian, mereka telah melarikan diri dengan membawa beg berisi wang tunai.

“Ketika pihak polis sampai di kawasan itu, suspek berjaya  melarikan diri melalui sebuah laluan di  bawah jejantas di situ dan dua pekerja tersebut ditinggalkan di tepi lebuh raya.

“Baki wang tunai yang ada di dalam van itu tidak berjaya dilarikan dan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kes tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini