KUALA LUMPUR 29 Mac – Cadangan daripada beberapa pihak supaya perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung melalui televisyen dan media sosial boleh direalisasikan bergantung kepada budi bicara mahkamah.
Pensyarah Kanan Undang-undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, hal itu seperti yang termaktub dalam Seksyen 7 Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan mahkamah perbicaraan jenayah adalah terbuka bagi tujuan akses kepada awam kecuali prosiding mahkamah khas dan kanak-kanak.
“Dalam Seksyen 272B Kanun Tatacara Jenayah pula membenarkan pengambilan keterangan dengan cara siaran secara langsung melalui televisyen dengan budi bicara mahkamah.
“Apapun permohonan kepada mahkamah perlu dibuat terlebih dahulu dengan dihadiri oleh pihak pendakwa raya dan peguam bela orang kena tuduh (OKT),” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Sementara itu, mengulas mengenai kesan perbicaraan disiarkan secara langsung itu, Noorfajri berpendapat yang langkah itu akan menyebabkan berlakunya prejudis terhadap pihak-pihak yang terlibat dengan kes tersebut.
Katanya, hal itu kerana segala keputusan adalah pada mahkamah yang bukan sahaja mendengar semua keterangan dan hujah yang dikemukakan, bahkan melalui persepsi awam.
“Hal ini akan menyebabkan masyarakat menghukum OKT sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman dan perkara ini tidak wajar pada perbicaraan sesuatu kes jenayah,” katanya,
Noorfajri menambah, senario masalah perbicaraan disiarkan secara langsung di televisyen boleh dilihat di Amerika Syarikat (AS) apabila saksi-saksi yang memberi keterangan terdedah kepada ancaman bahaya sekali gus menimbulkan percanggahan dengan undang-undang perlindungan saksi.
Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Pengamalan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Abdul Rani Kamarudin berpendapat isu perbicaraan disiarkan secara langsung tidak sepatutnya diperbesarkan atau menjadi masalah.
Menurut Abdul Rani, hal itu kerana undang-undang telah menetapkan perbicaraan mahkamah harus dibuat secara terbuka sekali gus membolehkan orang awam untuk hadir mendengarnya di mahkamah mahupun menyiarkan situasi yang berlaku dalam perbicaraan.
“Bagaimanapun, hakim boleh memberi perintah supaya perbicaraan dibuat secara tertutup jika ada alasan yang kukuh seperti mangsa rogol malu untuk memberi keterangan atau saksi kes adalah kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN ONLINE











