KUALA LUMPUR 7 Mac – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Melayu dan bukan Melayu berhubung kenyataannya sebelum ini dan bukannya sekadar menukar perkataan perang kepada sasaran.
Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, ini kerana istilah ‘perang’ atau ‘sasaran’ merupakan perkataan yang amat keras dan berbaur hasutan apabila digunakan merujuk kepada golongan bukan Melayu.
“Sewajibnya Guan Eng meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Melayu dan bukan Melayu, bukan hanya menukar perkataan.
“Istilah yang digunakan menunjukkan betapa dangkal dan ceteknya fahaman politik beliau malah memperlihatkan idea cauvanisme yang menebal di kalangan pimpinan DAP tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kenyataan itu menunjukkan beliau tidak matang dan tidak sensitif berkaitan isu rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Ikatan berpandangan Guan Eng tidak layak menganggotai Kabinet kerajaan persekutuan dengan mentaliti seperti itu.
“Rakyat tanpa mengira kaum menuntut permohonan maaf daripada Guan Eng dan kita tidak mahu insiden tidak harmoni berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Shahir turut mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy masih berdiam diri walaupun Menteri Kewangan itu telah mengeluarkan perkataan berbau hasutan.
“Adakah kerana menteri-menteri daripada Pakatan Harapan gentar untuk menegur bos mereka yang sebenar iaitu DAP,” katanya lagi.
Semalam, sebuah portal memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.
Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ di tukar kepada ‘menyasarkan’. – UTUSAN ONLINE











