KISah cinta antara Sunny dan Grim Reaper (malaikat maut) dalam drama fenomena, Goblin tentunya masih segar dalam ingatan peminat drama Korea.
Masakan boleh dilupa tentang keserasian yang epik antara Lee Dong Wook dan Yoo In-na yang membuat penonton susah untuk melupakan kisah percintaan mereka meskipun tayangan drama tersebut sudah tamat sejak 2016.
Setelah dua tahun lebih peminat menunggu, akhirnya dua bintang ini kembali dengan lakonan mereka menerusi drama Touch Your Heart (TYH) yang tayangannya kini cukup mendapat sambutan hangat.
Naskhah romantik komedi terbitan saluran tvN yang diadaptasi daripada novel web dengan judul sama itu mula ditayangkan sejak 6 Februari lalu.
Yoo In-na menghidupkan watak Oh Jin Shim aka Oh Yoon Seo, aktres kelas A yang hilang populariti gara-gara isu skandal dengan seorang lelaki jutawan.
Dalam usahanya untuk membuat kemunculan semula, dia terpaksa menyamar menjadi setiausaha Kwon Jung Rok demi mendalami peranannya untuk sebuah drama terbaharu.
Manakala Lee Dong Wook pula menghidupkan karakter Kwon Jung Rok, seorang peguam yang disegani dan sentiasa menang kes-kes yang dikendalikan. Bermula daripada hanya sebagai rakan sekerja, lama kelamaan hubungan mereka berkembang menjadi lebih istimewa.
Menerusi satu kenyataan kepada pemberita, Lee Dong Wook mengaku sejak dari awal tertarik dengan watak Kwon Jung Rok, tetapi salah satu alasan dia bersetuju menerima tawaran membintangi drama tersebut adalah kerana Yoo In-na.
“Salah satu alasan kenapa saya memilih drama ini kerana saya selesa dan percaya sepanjang bekerja bersama Yoo In-na,
“Sejak dari sesi pembacaan skrip sampai sekarang, kami boleh bekerjasama dengan baik.
“Dia (Yoo In-na) seorang yang teliti dan dia juga banyak membantu saya menghidupkan watak Kwon Jung Rok,” akui jejaka berusia 37 tahun itu.
Lantaran pengalaman pernah berganding bersama sekali gus menjadikan mereka saling memahami cara kerja dan lakonan masing-masing.
“Oleh sebab ini bukan kali pertama kami berlakon bersama, jadi kami sudah saling mengetahui satu sama lain. Saya sudah tahu bagaimana Yoo In-na di lokasi penggambaran dan gaya lakonannya.
“Keserasian kami dalam drama Goblin adalah suatu penghormatan, tetapi karakter kami dalam drama ini benar-benar berbeza,” tambah Lee Dong Wook lagi.
Bercium
Bekerjasama sebagai sepasang kekasih buat kali kedua, walaupun Lee Dong Wook dan Yoo In-na jarang berjumpa sejak tayangan Goblin tamat, namun keakraban mereka memang tidak diragui.
Di luar set, mereka sering memperlihatkan kemesraan misalnya ketika menghadiri sidang akhbar drama tersebut.
Malah, ketika di sebalik tabir pembikinan TYH, beberapa kali mereka berswafoto dan dikongsi dalam laman sosial.
Bahkan setakat ini, lakonan mereka mendapat pelbagai reaksi dan komen positif penonton.
Antara babak yang menjadi bualan warganet adalah mirip drama Goblin apabila adegan Oh Yun Seo menghulurkan tangannya sebagai salam perkenalan dengan Kwon Jung Rok.
Adegan itu mengingatkan penonton kepada babak Sunny dan Grim Reaper bertemu buat kali pertama.
Karya tersebut didakwa turut menyelitkan parodi drama popular Descendants of the Sun. Adegan itu telah diparodikan dengan baik oleh Yoo In-na bersama pelakon pembantu, Jang Ki Yong dengan iringan muzik latar.
Tidak ketinggalan, babak romantis dalam episod kelapan apabila Lee Dong Wook dan Yoo In-na melakonkan adegan bercumbuan turut menjadi perbincangan hangat warganet.
Lebih manis, pada sambutan Hari Kekasih yang lalu, bekas kekasih Suzy Bae itu ada memuat naik dalam Instagram gambar swafoto bersama sampul yang memaparkan wajah Yoo In-na.
“Hadiah Valentine daripada Oh Jin Sim,” tulis Lee Dong Wook.
Rata-rata penonton terhibur dan tersentuh menonton penyatuan semula ‘pasangan kekasih’ ini sehinggakan ramai berharap mereka benar-benar bercinta dalam dunia realiti.











