SUNGAI PETANI 31 Mac – Seramai 6,000 orang penduduk dari beberapa buah taman perumahan di Kawasan Perindustrian Sungai Petani di sini, hari ini berhimpun bagi menandatangani satu memorandum bertujuan membantah operasi sebuah kilang plastik kitar semula di situ.
Antara kawasan terjejas adalah penduduk Taman Berangan, Taman Sejati, Taman Seri Wang, Kampung Serukam dan Kampung Pulau Tok Daud.
Setiausaha jawatankuasa bertindak bantahan itu, Elvis Ng Chon Ying berkata, sejak beroperasi awal Februari lalu, para penduduk merasa tidak selesa kerana kilang itu telah mengeluarkan asap berbau busuk.
Katanya, malah ada dalam kalangan penduduk khususnya kanak-kanak dan warga emas di situ, mengalami sindrom kegatalan kulit, sesak nafas, batuk dan mata merah.
“Justeru kami berharap supaya perkara ini diberi perhatian serius oleh pihak berwajib,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Pasar Seri Astana di sini.
Penduduk, Mohd. Jamil Yahya, 48, dari Taman Seri Astana berkata, pihak berkuasa perlu segera campur tangan dan menangani hal itu agar tidak berlarutan dan menjejaskan kesihatan penduduk.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Seri Astana Fasa B, Mohd. Radhi Rejab berkata, sebaik sahaja tandatangan penduduk sudah mencukupi sebanyak 10,000 orang, memorandum itu akan dihantar ke pihak-pihak tertentu termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. – UTUSAN ONLINE











