Penagih OKU cuba rasuah pihak berkuasa - Utusan Malaysia

Penagih OKU cuba rasuah pihak berkuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) cuba merasuah dan mengugut anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Brickfields ketika Operasi Perdana membawa padah apabila dia ditahan bersama 28 lagi individu.

Operasi yang bermula pada pukul 9 malam itu telah dilakukan di kawasan berisiko tinggi kawasan Perangi Dadah Habis-Habisan di lokasi berbeza secara serentak di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Dalam dekat sini dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Difahamkan, lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi itu enggan memberi kerjasama susulan pihak AADK memintanya untuk melakukan ujian saringan air kencing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walau bagaimanapun, selepas ujian saringan air kencing dilakukan, bapa kepada tiga anak itu didapati positif dadah jenis syabu dan ganja. Suspek diberi amaran keras atas cubaan merasuah dan tidak memberikan kerjasama.

Ketua Pegawai AADK Daerah Brickfields, Muhamad Afiq Rajali (Gambar kecil) berkata, serbuan telah dilakukan susulan pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan terbabit.

“Pengedar atau lebih dikenali sebagai ‘Tokan’ dadah ini bertindak licik dengan sentiasa mengubah lokasi termasuk meletakkan kerusi di tepi tangga bagi menunjukkan operasi pengedaran dadah sedang berjalan.

“Mereka turut mengupah beberapa individu untuk menjaga kawasan terbabit dan melaporkan secara terus dengan membunyikan hon atau meletupkan mercun sebagai tanda terdapat pihak berkuasa memasuki kawasan PPR tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas selesai operasi terbabit.

Menurutnya, menerusi operasi tersebut, AADK telah berjaya menahan seramai 28 individu yang terdiri daripada 27 lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 16 hingga 60 tahun.

AADK
Pegawai AADK cawangan Brickfield menahan beberapa orang yang positif dadah setelah menjalani saringan ujian air kencing di pangsapuri Lembah Pantai.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 40 individu dan menahan 28 daripadanya selepas didapati positif pelbagai jenis dadah seperti syabu, opiat dan ganja.

“Kebanyakan penagih dadah ini merupakan pelanggan yang bukan berasal dari kawasan PPR berkenaan dan dadah tersebut boleh dibeli dengan harga serendah RM25 hingga RM50 untuk satu peket kecil,” jelasnya.

Tambahnya, pihak AADK akan sentiasa mempergiatkan operasi membanteras kegiatan dadah di kawasan-kawasan ‘hotspot’ selain mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan dadah.

Kesemua tangkapan telah dibawa ke AADK daerah Brickfields untuk tindakan lanjut dan akan direman di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pemulihan Dadah (Rawatan & Pemulihan). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini