KUALA LUMPUR 1 Mac. – Pahang belum pernah tewas dalam empat perlawanan pertamanya musim ini, namun kepincangan yang dihadapi akibat ketiadaan tiga tonggak dilihat peluang terbaik buat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk mengejutkan Tok Gajah dalam saingan Liga Super di Stadium Seri Manjung, Perak esok.
Bek tengah, Muslim Ahmad mengalami kecederaan manakala dua tonggak import, Herold Goulon dari Perancis (tengah) dan Safuwan Baharuddin (pertahanan, Singapura) masing-masing digantung satu perlawanan kerana layangan kad merah serta mengutip tiga kad kuning.
Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menegaskan, biarpun Tok Gajah adalah pasukan pilihan, namun mereka tidak akan bermain secara bertahan, sebaliknya akan berusaha menembusi gawang lawan.
“Berdasarkan empat perlawanan lalu, kami boleh bagi saingan cuma kami melakukan kesilapan mudah dan leka.
“Kami dibolosi dengan gol mudah dan sudah tentu perkara begitu tidak boleh berulang ketika menentang Pahang.
“Memang kelebihan memihak kepada Pahang kerana pasukan mereka berada dalam keadaan terbaik, namun kami akan cuba beri kejutan kerana pernah melakukannya pada tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tahun lalu, PKNP melangkah ke separuh akhir Piala FA, malah mengikat Tok Gajah 1-1 dalam separuh akhir pertama, sebelum tewas 1-2 pada perlawanan timbal balik.
“Kita tahu Pahang memiliki kekuatan seimbang namun kita kena merancang mengikut kemampuan pasukan. Beberapa pemain Pahang yang perlu diawasi adalah (Mohamadou) Sumareh, Matthew Davies, Dickson Nwakaeme dan Nor (Azam Azih),” katanya lagi.
Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ketiadaan tonggak utama adalah satu kerugian buat pasukan, namun dalam masa sama ia peluang terbaik buat pemain di bangku simpanan untuk membuktikan kemampuan.
“Harap semua pemain lebih berhati-hati selepas ini agar tidak melakukan kesilapan mudah sehingga dilayangkan kad kuning dan merah,” kata Mohammed Suffian.











