KLANG – Ganja dijual serendah RM5 sepeket. Itu senario yang berlaku dan dipercayai menjadi punca pelajar sekolah mahupun penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah ini terjebak dalam aktiviti penagihan dadah.
Kegiatan itu terbongkar apabila seramai 14 pelajar berusia antara 15 hingga 25 tahun daripada 575 individu yang diperiksa oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah ini didapati positif ganja sepanjang tahun lalu.
Penolong Pegawai ADDK Daerah Klang, Mohd. Faizal Mat Saad berkata, kebanyakan daripada individu tersebut terutama pelajar sekolah turut menggunakan wang saku yang diberikan ibu bapa untuk mendapatkan bekalan dadah.
Katanya, siasatan awal mendapati dadah itu dijual oleh pengedar luar dan bukannya daripada kalangan pelajar sekolah mahupun penuntut IPT.
“Soal siasat terhadap mereka yang terlibat ini mendapati dadah khususnya jenis ganja diperoleh pada harga serendah RM5 berbanding di pasaran luar yang mampu mencecah RM30 bagi sepeket.
“Pengedar-pengedar ini akan menjual dadah itu selepas diperkenalkan oleh pelanggan tetap mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di akhbar KOSMO! hari ini.










