ALOR SETAR 11 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memiliki kemampuan tinggi untuk memintas, mengesan dan mematahkan segala aktiviti berunsur keganasan walaupun pelbagai pihak cuba mengambil kesempatan terhadap pendekatan ‘mesra pelancong’ ke negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya juga pada masa sama bekerjasama baik dengan negara-negara ketiga yang menjadi sasaran kumpulan pengganas memandangkan mereka menjadikan Malaysia sebagai negara transit.
Menurutnya, PDRM sentiasa peka terhadap apa jua kegiatan kumpulan itu termasuk kerap memantau serta menganalisis pergerakan pengikutnya supaya tiada perkara tidak diingini berlaku di negara ini.
“Pertama sekali kena tengok negara kita mempunyai kombinasi baik dalam komunikasi udara dan jaringan lapangan terbang yang dibuka kepada semua penerbangan dari serantau dunia, orang boleh akses ke negara kita dengan dokumen tertentu.
“Jadi, saya percaya mereka ambil kesempatan untuk menyusup masuk ke negara kita sebagai pelancong untuk berada di sini kerana kita amalkan pendekatan yang baik sehingga mereka mungkin melihat (Malaysia) tempat yang boleh berkumpul tanpa diganggu.
“Kumpulan pengganas itu dipercayai menggunakan teknologi maklumat seperti emel sebagai sumber utama untuk berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah antara Datuk Abd. Rahim Jaafar dan Datuk Zainuddin Yaacob di sini, hari ini.
Noor Rashid mengulas tangkapan sembilan individu termasuk dua anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum melancarkan serangan berskala besar terhadap negara ketiga.
Mengulas sama ada tangkapan dua pengikut kumpulan itu sebagai dalang atau mereka yang terlibat secara langsung dalam Ansar Al-Shariah Al-Tunisia, Noor Rashid berkata, polis menahan sesiapa sahaja yang boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
“Kita dapat tahu ada hubungan komunikasi melibatkan aktiviti yang mereka cuba lakukan dan kita rasakan tak boleh benarkan orang ini untuk bebas kerana mereka boleh mempengaruhi orang lain.
“Justeru itu, mereka mesti ditangkap dan siasatan sedang dijalankan sebelum kemungkinan pendakwaan dilakukan terhadap individu-individu terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE











