GAGASAN bagi mewujudkan Kerajaan campuran Pas-Perikatan yang berjaya dimeterai pada tahun 1974 merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO yang mahu melihat umat Melayu-Islam bersatu dan syiar Islam ditegakkan dalam pemerintahan negara selain mengurangkan ‘politiking’ yang boleh menjejaskan usaha kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Tun Abdul Razak semasa menyampaikan ucapan dasarnya bertajuk ‘Ke Arah Pengukuhan Negara’ dalam Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Jun 1972 menegaskan perlunya sebuah kerajaan campuran bagi mewujudkan sebuah negara yang berwibawa selepas tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.
Tun Abdul Razak menegaskan: “Baru-baru ini ada ura-ura hendak mengadakan kerjasama di antara kita dengan parti Pas di Kelantan.

“Saya telah tegaskan kita tidak menolak sebarang usaha ke arah ini demi kepentingan negara dan kemajuan rakyat khasnya rakyat di negeri yang kurang maju seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Selain dari Pas hanya tinggal tiga parti sahaja dalam Parlimen yang berada di luar ‘coalition’ iaitu DAP, Pekemas dan SNAP. DAP tetap tidak dapat diterima oleh UMNO kerana ia sebuah parti ‘chauvinis’ yang menjalankan dasar perkauman” (Petikan Koleksi Ucapan Tun Razak 1970-1975).
Menurut R. S. Milne dan Diane K. Mauzy dalam buku Politik dan Kerajaan Malaysia (1982), Tun Razak dan Parti Perikatan terutamanya UMNO menganggap Kerajaan campuran Pas-Perikatan merupakan strategi penting kerajaan dalam usaha mengurangkan “main politik” demi mencapai perpaduan kalangan orang Melayu .
Pada Julai 1972, Yang Dipertua Agung Pas, Datuk Mohd. Asri Muda menyambut baik tawaran Tun Abdul Razak untuk menyertai Kerajaan campuran Pas-Perikatan.
Kongres telah bersetuju mengundi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Kerja Pas untuk mengusahakan pembentukan Kerajaan campuran Pas-Perikatan di semua peringkat. Keputusan undi tersebut ialah sebanyak 142 undi menyokong berbanding 50 undi membangkang dan 16 undi berkecuali.
“Sebuah Kongres Luar biasa Pas telah memberi kebenaran rasmi kepada perjanjian kerajaan campuran pada Disember dan Tun Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan campuran akan berkuatkuasa bermula dari 1 Januari 1973.
“Syarat-syarat rasmi perjanjian kerajaan campuran terkandung dalam laporan tiga belas perkara yang ditandatangani oleh Tun Razak dan Datuk Asri di Jabatan Perdana Menteri pada 28 Disember 1972.
“Antara syarat-syarat yang dipersetujui di peringkat persekutuan ialah Pas (Datuk Asri) akan diberikan jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas dan menteri tersebut juga akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal-Ehwal Islam Malaysia” (R. S. Milne dan Diane K. Mauzy 1982: 236).
Pas juga dijanjikan tokoh-tokoh parti itu akan mengisi setiap satu daripada jawatan timbalan menteri, setiusaha Parlimen, setiausaha politik dan seorang senator akan dilantik apabila berlaku kekosongan.
Sebagai tambahan, pemimpin Pas akan dihantar sebagai perwakilan ke luar negara, akan dipertimbangkan untuk mengisi jawatan perkhidmatan luar negara dan untuk menganggotai Jawatankuasa, Lembaga dan Perbadanan milik Kerajaan Persekutuan.
Menurut R. S. Milne dan Diane K. Mauzy lagi, dengan perjanjian kerajaan campuran, maka terhapuslah ancaman Pas untuk merebut kuasa daripada UMNO serta menyekat pergerakan Pas yang semakin berbahaya di negeri-negeri di Utara.
Akhirnya, dengan terbentuknya kerajaan campuran, Perikatan dibenarkan untuk menyertai Kerajaan Negeri Kelantan dan mengurangkan ketegangan hubungan antara kerajaan negeri tersebut dengan Kerajaan Persekutuan.
Mohd. Sabri Md. Nor menerusi tesis Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Malaya bertajuk Persaingan Politik Melayu di Semenanjung Malaysia 1978- 2013, menyatakan tindakan kedua-dua parti tersebut dilihat membuka lembaran baharu dalam persada politik negara demi menjamin kestabilan politik, mengekalkan Ketuanan Melayu dan menyerapkan syiar Islam dalam pemerintahan negara.
“Ternyata, dalam keadaan negara diancam oleh perpecahan dan untuk mencapai perpaduan menjadi suatu masalah besar, Pas telah mengetepikan ideologi parti dan sanggup duduk semeja untuk bekerjasama dengan UMNO, walaupun dalam empat Pilihan Raya Umum sebelumnya (1955, 1959, 1964 dan 1969), kedua-dua parti bertentangan, bermusuh-musuhan dan bersaingan secara sengit untuk mendapat kuasa” (Mohd. Sabri Md. Nor 2016: 101).
Permuafakan ini akhirnya mencatat sejarah apabila Pas dan UMNO, kedua-dua parti berpengaruh dalam kalangan orang Melayu itu bersetuju untuk menjalin kerjasama erat bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-4 secara bersama dengan parti-parti lain dalam komponen Perikatan menggunakan logo yang sama melalui nama baharu yang dikenali sebagai Barisan Nasional mulai 1 Jun 1974.
ESOK: PRU ke-4 Catat Sejarah Gemilang











