KUALA LUMPUR 6 Mac – Semua parti politik di negara ini perlu bertanggungjawab dan kembali kepada perjuangan asal bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Presiden Nasional Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau berkata, banyak isu yang kini dihadapi rakyat selain melibatkan kaum dan agama semata-mata seperti masalah ekonomi dan sosial.
Malah katanya, Pas dan UMNO sepatutnya mewakili dan memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia, bukannya menyebarkan politik berasaskan kaum.
“Semua parti politik mempunyai tanggungjawab untuk memupuk perpaduan nasional, UMNO dan Pas harus mewakili dan memperjuangkan semua rakyat Malaysia. Selain itu, mereka harus berusaha mempromosikan integrasi sosial, bukannya menyebarkan politik perkauman sehingga berpecah-belah.
“Pas dan UMNO perlu ingat sokongan Melayu tidak berlaku secara kekal untuk satu parti politik selama-lamanya. Parti politik mesti membuktikan kemampuan diri mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari.
Dalam pada itu, Dominic berkata, rakyat Malaysia memerlukan pembangkang yang berpandangan terbuka dan profesional dan bukannya mengeksploitasi isu bangsa dan agama demi kepentingan politik mereka sendiri.
“Berhenti memisahkan negara berdasarkan perbezaan, ketakutan dan kebencian, kita harus membebaskan diri daripada politik lama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











