Parlimen: Undi tidak percaya jadi tumpuan - Utusan Malaysia

Parlimen: Undi tidak percaya jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Mac – Spekulasi akan berlaku undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pasti menjadi perhatian dalam sidang Parlimen yang berlangsung selama sebulan bermula esok.

Lebih-lebih lagi terdapat satu soalan bakal dikemukakan oleh Ahli Parlimen PKR tentang bagaimana proses peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut persetujuan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sejak sidang Dewan Rakyat ditangguhkan pada 11 Disember lalu, pelbagai cerita mewarnai pentadbiran negara termasuklah peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti, Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands serta isu-isu rakyat seperti pemansuhan tol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 esok akan menjadi perhatian utama.

Titah Diraja pasti dinantikan memandangkan titah sebelum ini amat meninggalkan kesan mendalam apabila Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V secara bersahaja meminta semua ahli Dewan Rakyat duduk dan tidak lari meninggalkan dewan.

Sejarah juga bakal tercipta apabila buat pertama kalinya seorang ahli Parlimen daripada dalam kalangan Orang Asli akan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat, iaitu Ramli Mohd. Nor, calon BN yang menang dalam PRK Cameron Highlands pada Januari lalu.

Antara undang-undang serta isu yang mungkin dibahaskan atau dibentangkan ialah mengenai cadangan pemansuhan hukuman mati, hak Sabah dan Sarawak, prestasi Felda serta siasatan kehilangan wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Kedudukan ahli-ahli Dewan Rakyat juga akan berubah setelah ramai Ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, sekali gus meramaikan penyokong kerajaan yang sebelum ini didominasi DAP dan PKR.

Muka baharu akan menjadi Ketua Pembangkang iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berehat daripada memainkan peranan sebagai Presiden parti.

Sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir pada 11 April depan pastinya dijadikan medan ‘berkempen’ memandangkan dua hari kemudian merupakan tarikh pengundian PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang ditandingi pemimpin paling kanan UMNO ketika ini, Datuk Seri Mohamad Hasan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini