Nurul Izzah pemimpin berintegriti - Utusan Malaysia

Nurul Izzah pemimpin berintegriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mac – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meletak jawatan sebagai seorang daripada ahli dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai berintegriti.

Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, ciri-ciri Nurul Izzah yang terkenal dengan sikap ketegasan dan berintegriti tinggi patut dicontohi banyak pihak khususnya kepemimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan katanya, sikap berkenaan tidak seperti segelintir pemimpin lain yang sanggup menggadaikan prinsip demi mengejar kuasa dan kedudukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pandangan Nurul Izzah ketika di temu ramah oleh Singapore Daily The Straits Times (ST) wajar diterima oleh semua pihak dengan hati yang terbuka.

“Sesungguhnya pengalaman pahit beliau dan keluarga ketika melalui zaman sukar dan aib adalah sesuatu yang sangat berat dan wajar menjadi iktibar kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Nurul Izzah mengumumkan peletakkan jawatan dalam PAC kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan pemilihan kepimpinan jawatankuasa terbabit selepas keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengekalkan bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

Syed Badli Shah berkata, segala luahan Nurul Izzah terhadap kerajaan kini wajar diberi perhatian dan pertimbangan demi memperkukuh kerajaan PH.

“Ketika segelintir pemimpin tidak meraikan kewujudan PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU), Nurul Izzah dan keluarga tampil mempertahankan penubuhan PH dengan mengenepikan luka-luka silam.

“Kini banyak pihak mendapat manfaat setelah PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan termasuk segelintir pihak yang menentang kewujudan PH sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini