INDIAN WELLS 11 Mac- Pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal mempamerkan persembahan agresif untuk menyingkirkan Jared Donaldson dalam pusingan kedua Kejohanan Tenis India Wells Masters, awal pagi tadi.
Pilihan kedua dari Sepanyol itu melakar kemenangan 6-1, 6-1 ke atas Donaldson dalam aksi pembukaannya dalam acara ATP 1000 itu.
Nadal yang juga juara tiga kali di Indian Wells, langsung tidak memberi ruang kepada lawannya apabila menghasilkan 18 servis hebat dan hanya melakukan 10 kesilapan dalam perlawanan itu.
Donaldson memberikan saingan kepada Nadal dalam pertemuan terdahulu di Shanghai pada 2017 apabila melibatkan pertarungan tiga set, namun tidak berdaya untuk mengulanginya pada kali ini.
Cabaran terbesar yang dihadapi juara Grand Slam sebanyak 17 kali itu sebelum perlawanan ialah kelewatannya untuk tiba di venue perlawanan sehingga perlu meminta maaf kepada Donaldson.
Dia memberitahu pencabarnya dari Amerika Syarikat itu bahawa pada mulanya menyangkakan perlawanan berkenaan akan berlangsung jam 8 malam waktu tempatan dan bukannya 6 petang.
Namun, ia tidak menyekat Nadal untuk mula mengorak langkah dalam apabila mendahului 3-1 melalui pukulan balas dan kesilapan Donaldson di depan jaring.
Donaldson gagal menyimbangi permainan konsisten Nadal dan pukulan balas atlet Sepanyol itu membolehkannya memuktamadkan kemenangan dalam tempoh 72 minit.
Nadal kemudian meneruskan rentak yang sama untuk mendahului dalam set kedua untuk menuju kemenangan yang selesa. – AGENSI
Habis…//











