KUALA LUMPUR 19 Mac – Ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin bersedia untuk mempertimbangkan cadangan yang mengusulkan namanya untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sebelum ini mencadangkan nama Megat Shahriman daripada sektor korporat untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Lembaga Yakeb yang baharu.
Beliau menyambut baik cadangan itu namun masih belum menerima sebarang surat secara rasmi mengenai perkara itu.
“Mengenai isu lantikan sebagai ahli lembaga pengarah Yakeb, pengerusi sendiri ada menghubungi saya untuk menyampaikan hajat mengenai lantikan tersebut dan saya menyambut baik cadangan tersebut namun masih belum menerima sebarang surat secara rasmi berhubung perkara itu.
“Saya sedia memberikan kerjasama bagi dalam usaha untuk memajukan Yakeb tetapi saya perlu surat rasmi dahulu dan akan mempertimbangkan tawaran sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya selepas majlis penyerahan tajaan Fox Marketing Sdn. Bhd. kepada Persatuan Bolasepak Orang Buta Malaysia (BFAM) di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Megat Shahriman yang juga Pengarah Urusan Fox Marketing menyampaikan penajaan berupa peralatan latihan serta pakaian untuk kejohanan bagi membantu BFAM beraksi untuk aksi kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Ini adalah inisiatif Fox Marketing dalam membantu atlet para kebangsaan. Sebelum ini kami telah menandatangani tiga atlet para olahraga iaitu Mohamad Afiq Ali Hanafiah, Mohamad Ashraf Haisham dan Ahmad Solihin (Mohd. Nor) sebagai duta rasmi Fox Marketing.
“Diharap dengan penajaan ini mereka lebih bersemangat dalam mengahadapi kejohanan akan datang dan seterusnya mengharumkan nama negara,” kata Megat Shahriman.-UTUSAN ONLINE











