LONDON 19 Mac – Pemain Manchester United, Juan Mata akui pasukannya di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer sedang berdepan ujian getir terutama apabila tersingkir daripada kempen Piala FA musim ini.
United tewas 2-1 kepada Wolverhampton dalam aksi suku akhir Piala FA pada Ahad malah itu juga adalah kekalahan kedua skuad bimbingan Solskjaer selepas kecundang kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Kata Mata, pasukannya harus memperbaiki prestasi semasa dalam tempoh singkat ini dan cuba mendapatkan kemenangan ketika saingan menentang Watford pada minggu depan.
“Kekalahan kepada Wolves adalah sesuatu yang menyakitkan kerana ia meleburkan harapan kami dalam kempen Piala FA.
“Saya percaya rakan sepasukan pasti ingin melupakan kekalahan tersebut kerana mahu menghadapi baki musim ini dengan sebaiknya,” kata Mata. – AGENSI











