PASIR GUDANG 9 Mac – Kejadian pembuangan toksik di Sungai Kim Kim di sini semakin serius berikutan mangsa yang dirawat akibat terhidu gas kimia itu kini meningkat kepada 79 orang.

Setakat pukul 9.30 malam tadi, sebanyak 31 kes baharu dilaporkan setelah mangsa mengadu pening kepala, muntah, sakit tekat dan pedih mata.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, mengikut trend yang ditunjukkan, gejala berkenaan berlaku pada malam hari ekoran peningkatan kes yang dilaporkan, sementara itu tiada laporan kes baharu diterima sejak awal pagi ini.
Menurutnya, jumlah itu membabitkan 32 individu yang dirawat sebagai pesakit luar dan 47 yang dirawat di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru sejak kejadian dilaporkan Khamis lalu.
“Daripada 47 yang dirawat di HSI, 16 telah dibenarkan pulang, manakala 31 yang lain masih berada di wad, termasuk enam yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Seramai 31 mangsa itu ialah dua kanak-kanak, 15 pelajar sekolah dan 14 orang dewasa, ini termasuk tiga petugas perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Johor 2019 di Taman Kota Masai di sini hari ini.
Khamis lalu, dua buah sekolah di Taman Pasir Putih di sini membabitkan kira-kira 1,600 pelajar terpaksa ditutup ekoran terhidu bahan kimia yang dipercayai dibuang secara haram di Sungai Kim Kim kira-kira 500 meter dari kedua-dua sekolah itu.
Dr. Sahruddin turut menasihatkan masyarakat sekitar untuk mendapatkan rawatan kesihatan sekiranya mengalami gejala-gejala tersebut.











