Malaysia bida tuan rumah Piala Dunia Gimastik Estetik 2020 - Utusan Malaysia

Malaysia bida tuan rumah Piala Dunia Gimastik Estetik 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mac – Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA) berhasrat untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia Gimastik Estetik 2020 bagi memecah tradisi penganjurannya di Eropah, kata Timbalan Presidennya, Datuk Radha Krishnan Nair.

Jelasnya, Malaysia mempunyai kemudahan lengkap yang boleh ditawarkan sebagai venue kejohanan itu antaranya Arena Axiata, Bukit Jalil dan Stadium Malawati, Shah Alam malah sukan gimnastik estetik lebih mudah dikendalikan kerana kurang menggunakan peralatan.

“Kemudahan yang diperlukan hanya dewan yang besar dan hamparan karpet pertandingan. MAGGA telah kenal pasti beberapa venue macam (Arena) Axiata dan (Stadium) Malawati untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami pun pernah menjayakan penganjuran Piala MAGGA dua tahun lalu yang disertai 320 atlet dari 13 negara. Jika dapat hak itu, dijangkakan lebih 1,000 atlet dari 25 negara akan datang ke sini yang turut bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan bendera di Wisma Universal Fitness & Leisure hari ini kepada kontinjen negara ke Piala Dunia II dan Piala Cabaran II serta Kejohanan Empat Benua Keenam Piala Singapura 2019 di republik itu dari 1 hingga 4 April ini.

Gimnastik estetik agak berbeza dengan gimnastik artistik atau berirama namun merupakan satu bentuk sukan yang menyokong kesinambungan karier gimnas yang telah bersara dan berusia namun mengurangkan penggunaan peralatan serta dijalankan secara kerjasama berpasukan.

Bagi kejohanan di Singapura itu, MAGGA menghantar 16 pasukan dari lima kelab gabungannya dengan sasaran yang ditetapkan ialah sebutir pingat emas dan tiga gangsa menerusi kategori junior short program, 8-10 tahun dan 12 -14 tahun.

Antara kuasa utama dunia yang turut beraksi di Singapura ialah Rusia, Finland, Jepun dan Kazakhstan.

Skuad negara juga pernah mengukir kejayaan hebat ketika diundang menyertai Kejohanan Dunia anjuran Persekutuan Antarabangsa Gimnastik Kumpulan Estetik (IFAGG) di Budapest, tahun lalu dengan meraih sebutir gangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini