ADA satu hal yang ‘sakti’ tentang keberadaan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam arena seni suara Nusantara. Sejak mengukir nama sebagai artis rakaman sekitar 23 tahun lalu, graf seni beliau tidak pernah merudum.
Sebaliknya, penyanyi yang memulakan karier menerusi lagu Jerat Percintaan itu semakin kukuh melestarikan legasi muziknya menerusi 17 album studio, 30 siri konsert dan 280 kemenangan anugerah.
Hal ini dengan jelas dapat dilihat menerusi penganjuran konsert jelajah terbaharunya, Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di lokasi pertama di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Walaupun sudah hampir enam tahun tidak menganjurkan sebarang konsert solo di republik tersebut, namun apa yang dapat disaksikan sepanjang persembahan adalah sambutan daripada peminat yang sangat menggalakkan.
“Bukan mudah sebenarnya untuk mengadakan kemunculan semula, lebih-lebih lagi di Indonesia. Maklumlah, artis di sini ramai dan bagus-bagus belaka. Saya pula sudah lama tidak membuat konsert, jadi agak risau dengan penerimaan peminat.
“Tetapi, segala kegusaran hilang sama sekali apabila saya naik ke atas pentas dan mula menyanyi. Semangat yang dikongsikan oleh peminat membuatkan saya mahu menghasilkan lebih banyak lagu dan berkolaborasi dengan komposer-komposer berbakat di Indonesia,” katanya.
Tidak seperti konsert-konsert sebelumnya, konsert jelajah yang dihadiri oleh lebih 3,000 peminat itu dibuka dengan tayangan visual wayang kulit sebelum menampilkan Siti mendendangkan lagu-lagu tradisional menerusi segmen irama Malaysia.
Memecah sorak penonton dengan lagu Badarsila, Siti kemudiannya melantunkan beberapa seleksi wajib lagu-lagu tradisional lain seperti Joget Berhibur dan Nirmala.
Mengakui teruja dengan perubahan tersebut, Siti menyifatkan segmen pembuka untuk konsertnya pada kali ini merupakan satu pembaharuan yang sangat unik.
Tradisional
“Pada kebiasaannya, saya sering membuka pentas dengan lagu-lagu pop atau balada. Berlainan untuk persembahan pada kali ini, saya dan pihak penganjur, Shiraz Projects memilih untuk membawakan lagu-lagu tradisional.
“Walaupun berisiko tinggi meletakkan sebuah segmen yang rancak pada awal persembahan, namun pada hemat saya, segmen tradisional mampu memaku mata khalayak untuk terus menonton konsert sehingga ke penghujungnya,” ujarnya lagi.
Untaian lagu yang dipersembahkan oleh Siti tidak sekadar mencuit nostalgia dalam kotak fikiran penonton malah memberi gambaran sebenar terhadap perjalanan seninya sebagai penyanyi.
Antara lagu-lagu balada popular yang dinyanyikan termasuklah Bila Harus Memilih, Cuba Untuk Mengerti dan Biarlah Rahsia. Selain itu, Siti turut menyihir khalayak menerusi lagu Demi Kasih Sayang yang disifatkan oleh peminat sebagai lagu paling jarang dinyanyikan secara langsung.
Di sebalik persembahan yang cemerlang, Siti sebenarnya pernah melahirkan rasa gusar dengan kualiti vokalnya sendiri. Menurut Siti, beliau bimbang jika vokalnya tidak mampu untuk menyanyikan lagu-lagu balada, khususnya yang bernada tinggi.
“Benar, saya pernah menyuarakan kebimbangan ini sewaktu sidang akhbar pengumuman konsert. Namun, saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan lancar.
“Mungkin disebabkan persediaan yang rapi termasuk menghadiri kelas vokal dan bersenam, saya mampu menyanyikan 29 buah lagu dengan jayanya,” ujar Siti sambil tersenyum.
Tambah Siti, dia turut menjauhi aura negatif sepanjang persediaan konsert jelajahnya sebulan yang lalu.
“Kita perlu sentiasa percaya pada diri. Insya-Allah, jika kita sentiasa positif, kita pasti boleh melakukannya,” luah Siti yang masih diberi tunjuk ajar oleh pengarah muzik, Aubrey Suwito sepanjang konsert jelajah berlangsung.
Produksi
Terlanjur berbicara mengenai Aubrey, Siti memberitahu, maestro muzik tersohor itu sudah faham dengan kehendaknya setiap kali terlibat dengan konsert besar.
“Aubrey merupakan pengarah muzik saya sejak konsert pertama lagi. Jadi, dia sudah faham dengan kehendak saya mengikut penanda aras yang diberikan oleh penganjur.
“Walaupun lagu-lagu tradisional diberi nafas baharu, namun lagu-lagu berkenaan masih kedengaran segar dan selari dengan aliran muzik zaman sekarang,” katanya.
Selain komposisi muzik yang baharu, beliau turut berpuas hati dengan rekaan pentas dan juga visual.
Namun, terdapat satu insiden lucu yang dilalui oleh Siti dan pihak produksi ketika sedang menjalani raptai penuh pada pagi sebelum konsert berlangsung.
“Tirai yang menutupi pentas tiba-tiba tidak mahu terbuka secara automatik. Saya agak panik juga ketika itu. Namun, selepas percubaan kedua, tirai tersebut dapat dibaiki.
“Cuma, bagi mengelakkan sebarang masalah, terdapat kru yang bertugas untuk duduk di atas tirai dan akan menarik tirai tersebut secara manual andai motornya rosak,” ujar Siti sambil tertawa.
Kini berada di Singapura untuk konsert kedua yang dijadualkan berlangsung di Singapore Expo, Singapura malam ini, Siti mengharapkan persembahan yang lebih kemas dengan beberapa perubahan.
“Konsert di Jakarta merupakan konsert yang sempurna. Cuma, untuk konsert di Singapura dan Kuala Lumpur, mungkin susunan lagunya sahaja yang akan berubah.
“Saya berharap agar diberikan kesihatan yang baik supaya dapat memberikan persembahan terbaik untuk konsert di Singapura dan Kuala Lumpur,” tutup Siti.
Selepas hampir enam tahun tidak mengadakan persembahan berskala besar di Indonesia, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali dengan konsert jelajah, Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour.











