SHAH ALAM 10 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM467,750 berupa set peralatan fisioterapi kepada lima buah rumah kebajikan warga emas.
Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, lima rumah kebajikan tersebut ialah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Pusat Jagaan Nur Hasanah.
“Setiap rumah kebajikan ini masing-masing menerima set peralatan fisioterapi bernilai RM93,550.
“Sumbangan tersebut merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bagi memberi sokongan kesihatan kepada golongan warga emas memerlukan, sekali gus dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Orang Besar Daerah Hulu Langat, Abdul Jalil Abdul Rani.
Abdul Basith memberitahu, sumbangan berkenaan juga adalah antara inisiatif LZS bagi memanfaatkan agihan zakat kepada masyarakat.
Menurutnya, sebelum ini lima rumah kebajikan terbabit adalah antara penerima sumbangan zakat berbentuk geran tahunan bagi membantu mereka melaksanakan operasi dan aktiviti masing-masing.
“Pada 2018, LZS menyumbang sebanyak RM1.6 juta dalam bentuk geran tahunan kepada rumah-rumah kebajikan warga emas, pertubuhan bukan kerajaan Islam dan pertubuhan anak-anak yatim yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya. – UTUSAN ONLINE











