LIMA’21 tumpu teknologi siber, aeroangkasa - Mohamad Sabu - Utusan Malaysia

LIMA’21 tumpu teknologi siber, aeroangkasa – Mohamad Sabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi pada tahun 2021 nanti (LIMA’21), akan memberi tumpuan kepada aspek teknologi siber dan aeroangkasa sebagai antara komponen pentingnya.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ia penting dalam memperkasa industri aeroangkasa dan maritim negara, untuk lebih dikenali dan berjaya di peringkat global,dan ia boleh dilaksanakan melalui platform penganjuran LIMA.

“Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sebelum ini ada menyebut bahawa rakyat Malaysia sedang menerokai bidang teknologi siber dan aeroangkasa dan perkara ini akan dimasukkan dalam Kertas Putih Pertahanan sebagai usaha baharu rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media sempena LIMA’19 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas mengenai LIMA’19, Mohamad menyifatkan pameran itu sangat berjaya dan berjalan dengan baik sejak ia bermula Selasa lepas sehingga hari terakhirnya, hari ini.

Beliau berkata, ini dapat dlilhat di sepanjang penganjuran pameran LIMA’19 yang menyaksikan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku setakat ini.

“Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana LIMA’19 yang pertama kali saya terlibat dalam menganjurkannya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan LIMA’19 yang boleh saya katakan sebagai sangat berjaya,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kesesakan di kaunter tiket masuk ke LIMA’19, Mohamad berkata, pihaknya memang menyediakan kemudahan tiket secara dalam talian.

“Bagaimanapun, saya difahamkan orang awam telah datang sejak awal pagi tadi untuk mendapatkan tiket masuk ke MIEC dan saya memohon maaf di atas kekalutan yang berlaku dan kami komited untuk menambah baik sistem pendaftaran serta pembelian tiket pada masa akan datang.

“Selain itu, faktor lambat juga adalah disebabkan keperluan untuk membuat tapisan keselamatan semua pelawat awam yang menjadi keutamaan kami kalau ada sedikit kesukaran untuk masuk itu adalah kerana masalah tapisan keselamatan,” katanya.

LIMA’19 yang bermula pada Selasa lepas dan berakhir hari ini melibatkan penyertaan 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat asing, yang kebanyakannya berkaitan sektor pertahanan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini