KOTA BHARU 10 Mac – Kerajaan Pusat telah meluluskan lima projek utama khususnya bagi meningkatkan jaringan perhubungan di negeri ini.
Lima projek yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion itu ialah Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT 3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); jajaran baharu jalan Pasir Puteh-Machang-Jeli; jambatan Palekbang, Tumpat-Kota Bharu dan Jalan Lingkaran Tengah (CSR) sejauh 123 kilometer (km).
Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, projek-projek tersebut akan memberikan impak yang tinggi untuk pembangunan di Kelantan yang

termasuk di antara enam buah negeri yang diberikan keutamaan untuk mendapat pengagihan peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Beliau berkata, lima projek pembangunan itu diperhalusi dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui mesyurat Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC), Isnin lalu.
“Saya juga akan memastikan projek ini tidak tergendala dan mengikut jadual ditetapkan serta menjamin kualiti pembangunan yang selamat.
“Kita mengharapkan ada penyelarasan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menjayakan objektif pembangunan yang dirancangkan ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan ketua-ketua jabatan kerajaan dan mempengerusikan mesyuarat MTPNg Kelantan kali pertama di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MTNg Kelantan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, LPT 3 sejauh 150 kilometer dari Gemuruh, Terengganu sehingga ke Tumpat dekat sini yang akan membantu kemajuan Pelabuhan Tok Bali yang dibina atas inisiatif swasta dan mewujudkan satu koridor ekonomi baru di pesisiran pantai negeri ini.
“Pembinaan jalan raya Pasir Puteh-Machang dan Jeli merupakan jalan pintas menghubungkan CSR ke Pelabuhan Tok Bali, tanpa jajaran baharu ini semua urusan terpaksa bergerak ke Kota Bharu terlebih dahulu sebelum turun ke Pelabuhan Tok Bali.
“Kita juga telah membincangkan dengan panjang lebar CSR yang juga termasuk dalam beberapa daerah di Kelantan ini diputuskan Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat melihat perkara ini dengan segera,” katanya.











