KUALA LUMPUR 30 Mac – Lima daripada lapan penghuni Pondok Penyayang Raudhah di Batu 11, Gombak dekat sini yang cedera selepas pokok tumbang menghempap pusat jagaan asnaf itu telah keluar hospital, hari ini.
Pemilik pusat, Mohamad Bismi Adira Mokhtaruddin, 39, berkata, bagaimanapun, tiga lagi penghuni masih dirawat di wad biasa di Hospital Selayang dekat sini.
“Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan pokok tumbang di kawasan itu juga sedang giat dijalankan dan mengambil masa untuk diselesaikan berikutan jumlah yang banyak.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan diterima daripada kerajaan negeri dan pihak yang prihatin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, lapan penghuni termasuk lima kanak-kanak cedera apabila pusat jagaan itu dihempap pokok tumbang dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.
Ketika kejadian, mereka dikatakan berada di hadapan premis selepas selesai makan.
Difahamkan, pusat yang dibiayai Pusat zakat Selangor itu mempunyai lapan kediaman yang diduduki 27 penghuni dewasa manakala 19 penghuni lagi berusia antara setahun sehingga 17 tahun. – UTUSAN ONLINE











