KUALA LUMPUR 11 Mac – ‘Dont Tell and Talk’. (Jangan cakap dan maklum).
Itu penegasan dilontarkan oleh Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib@ Khalid berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang merujuk kepada sebuah polisi diamalkan di Amerika
Syarikat (AS).
Beliau malah memberitahu, AS mengambil pendekatan dengan menjadikan polisi itu sebagai asas untuk tidak menggembar-gemburkan urusan seksualiti dan orientasi individu kerana perkara itu adalah isu peribadi.
“Tetapi dalam keadaan apabila mereka merasakan orientasi seksualiti perlu dikongsi dan didedahkan kepada umum maka, sudah tentu menjadi masalah negara.
“Sudah tentu perlu ditangani segera kerana kalau golongan LGBT ini hanya menganggap urusan mereka dengan Tuhan tidak mengapa, tetapi apabila melibatkan usaha untuk memaklumkan kepada dunia serta masyarakat umum, ia sudah menjadi satu masalah besar kepada negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Onlie di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan oleh sebuah portal yang merujuk kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa Kerajaan Persekutuan perlu bersikap inklusif dalam dasarnya terhadap wanita, tanpa mengira etnik, umur, gender atau
seksualiti mereka.
Semalam, berlangsung satu perarakan di Dataran Merdeka apabila terdapat pihak didakwa melaungkan slogan seperti ‘Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.
Pendukung LGBT juga cuba memutar belitkan isu menerusi ciapan dalam Twitter apabila mendakwa kononnya golongan LGBT ditindas dan sukar mendapatkan pekerjaan di negara ini. -UTUSAN ONLINE











