MELAKA – Seorang lelaki maut manakala sepasang suami isteri parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Simpang Kampung Pengkalan Perigi di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Zamri Ya’cob, 37, yang memandu kereta jenis Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, K. Sathiya Moorthy, 31 dan isterinya B. Kogilavany, 37, yang menaiki kereta jenis Mazda masing-masing mengalami patah kaki serta luka di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Zamri dari arah Pantai Kundur ke Tanjung Kling telah hilang kawalan setiba di selekoh berkenaan.
“Kereta mangsa kemudian telah terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dinaiki sepasang suami isteri.
“Akibat rempuhan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pasangan tersebut mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











