DUNGUN – Seorang lelaki yang mendakwa pewaris sebuah kerajaan jin ditahan pihak berkuasa semalam kerana disyaki menyebarkan ajaran sesat di sebuah surau di Taman Rimba Bukit Bauk di sini.
Suspek berusia 34 tahun yang menggelarkan diri sebagai Raja Muda Abdul Aziz ditahan sepasukan penguat kuasa daripada Pejabat Agama Islam Daerah Dungun dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun ditahan dalam serbuan pada pukul 8 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohd. Zohan Seman berkata, sebelum itu, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat tentang penyebaran ajaran Islam meragukan daripada suspek.
“Lelaki yang berasal dari Tanjung Jara di sini itu mendakwa telah diisytihar sebagai raja muda oleh sebuah kerajaan jin yang kononnya mendiami kawasan hutan berhampiran Bukit Bauk di sini sejak dua bulan lalu.
“Dia juga didakwa telah menjadikan surau berkenaan sebagai ‘istana’ dan sering menyampaikan taklimat ‘kerajaan bayangannya’ yang kononnya turut dianggotai golongan jin dan bunian di premis tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zehan berkata, serbuan itu juga berjaya merampas dua buah batu nisan, sebatang kayu mimbar, sekaki payung dan sofa yang kononnya menjadi tempat suspek bersemayam. – K! ONLINE











